AM > BERITA

MyDigital ID Jadi Platform Log Masuk Tunggal MyNIISe Bermula 15 Jan - KDN

06/01/2026 10:21 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulakan penggunaan MyDigital ID sebagai platform log masuk tunggal bagi rakyat Malaysia yang menggunakan aplikasi mudah alih Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bermula 15 Jan ini.

Dalam kenyataan media hari ini, KDN memaklumkan bagi pengguna warga asing kaedah log masuk sedia ada ke aplikasi MyNIISe akan terus digunakan tanpa sebarang perubahan.

Menurut KDN, pelaksanaan MyDigital ID sebagai sistem log masuk tunggal merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaksanaan NIISe yang bertujuan mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara tanpa menyimpan data peribadi pengguna.

"Pendekatan ini meningkatkan keselamatan transaksi digital serta memudahkan pengalaman pengguna melalui satu log masuk tunggal tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan," menurut kenyataan itu.

KDN turut menyarankan rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas untuk memuat turun serta mendaftar aplikasi MyDigital ID yang boleh didapati di gedung aplikasi seperti Apple App Store, Google Play dan Huawei Gallery sebelum menggunakan MyNIISe.

Aplikasi MyNIISe mula digunakan pada 22 Sept lepas di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Johor dan akan diperluaskan secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Terminal 1 dan 2, Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu.

Hingga 30 Dis lepas, MyNIISe mencatatkan 599,967 muat turun dengan 287,258 pengguna berdaftar.

KDN memaklumkan pelaksanaan MyDigital ID dalam MyNIISe mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui pendigitalan yang selamat, cekap dan berfokuskan rakyat, demi meningkatkan kepercayaan serta keselesaan pengguna dalam urusan keimigresenan negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan