Ad Banner
 AM > BERITA

Banjir: Pahang Pulih, Sarawak Dan Johor Catat Penurunan Mangsa

03/01/2026 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Banjir di Pahang pulih sementara jumlah mangsa di Sarawak dan Johor terus menunjukkan penurunan pada petang ini.

Di PAHANG, 83 mangsa banjir di Raub melibatkan 17 keluarga di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Ulu Atok dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari tadi.

Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa menurun kepada 1,225 orang daripada 307 keluarga setakat 4 petang berbanding 1,343 orang daripada 342 keluarga pagi tadi.

JPBN memaklumkan PPS Dewan Suarah Kota Samarahan ditutup pada 2 petang menjadikan 10 PPS masih beroperasi di negeri itu. 

Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan beberapa sungai utama di Sarawak melepasi paras bahaya iaitu di Stesen Long Teru, Miri dengan 8.28 meter (m), Stesen Marudi (3.67 m) dan Stesen Nanga Lemai B, Sibu (4.34 m).

Di JOHOR, mangsa banjir di Segamat berkurang kepada 92 orang daripada 27 keluarga pada 4 petang berbanding 112 orang daripada 31 keluarga, pagi tadi.

Pengerusi JPBN Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata kesemua mereka ditempatkan di lima PPS di daerah itu.

Sementara itu, di SABAH, mangsa banjir meningkat kepada 282 orang daripada 102 keluarga petang ini, berbanding 190 orang daripada 75 keluarga pagi tadi.

JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka dari enam kampung berlindung di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort yang beroperasi sejak 5 petang semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan