Ad Banner
 AM > BERITA

SPIA Tangkap 75 Tan Ikan Bandaraya Dari Hujung 2023 Hingga 2025

03/01/2026 04:17 PM

KANGAR, 3 Jan (Bernama) -- Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) Malaysia merekodkan tangkapan ikan bandaraya sebanyak kira-kira 75 tan di seluruh Semenanjung Malaysia dari penghujung 2023 hingga Disember lepas.

Pengasas SPIA Malaysia Mohamad Haziq A. Rahman berkata tangkapan ikan bandaraya itu dibuat  menerusi usaha bersepadu dengan pelbagai agensi kerajaan dan institusi kemahiran serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jumlah ini tidak termasuk hasil tangkapan melalui program dilaksanakan hari ini dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Jabatan Perikanan Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK),” katanya.

Mohamad Haziq berkata demikian kepada pemberita pada Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat Sungai Perlis Bake With Love 4.0: Sinar Bawah Air anjuran bersama-sama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Kedah di Sungai Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran program dari 8 pagi hingga 3 petang itu susulan aduan penduduk tempatan berhubung lambakan spesies ikan asing sehingga menjejaskan ekosistem Sungai Perlis, khususnya ikan bandaraya.

“Program ini bukan sekadar memfokus kepada penangkapan ikan asing sebaliknya bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar dan masyarakat awam mengenai kepentingan pemuliharaan ekosistem akuatik,” katanya.

SPIA Malaysia merupakan komuniti diasaskan pemancing dan nelayan darat yang sukarela dan aktif membanteras ikan bandaraya dengan lebih 1,000 ahli di seluruh Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan