Ad Banner
 AM > BERITA

Pusat Komuniti Paya Besar Dijangka Siap Februari Depan

03/01/2026 02:07 PM

KUANTAN, 3 Jan (Bernama) -- Pusat komuniti Paya Besar yang dikenali sebagai Epistemic Investment for Society and Technology telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 94 peratus dan dijangka siap pada Februari depan.

Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pusat komuniti yang menelan belanja hampir RM5 juta itu dibangunkan berteraskan empat teras utama, iaitu teknologi, kemanusiaan, inovasi dan kemampanan.

“Selepas tujuh tahun saya menjadi wakil rakyat, kita perlu mengintegrasikan semua inisiatif itu dalam satu tema yang kita sebut sebagai Your Better Society 2040. Segala kerangka yang telah kita bina ini, kita mesti laksanakan supaya pelaksanaan itu dapat mencapai kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Kembali ke Sekolah di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kuantan, di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 574 pelajar daripada kategori B40 miskin tegar menerima sumbangan kelengkapan persekolahan menerusi program Jom Kembali ke Sekolah anjuran Parlimen Paya Besar.

Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Ekonomi berkata pusat komuniti yang dibangunkan di Gambang itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelajar di kawasan Parlimen Paya Besar, malah turut melibatkan institusi pendidikan tinggi yang terdapat di kawasan itu.

“Parlimen Paya Besar mempunyai pelbagai institusi pengajian tinggi dan mereka bukan sekadar menjadi penerima manfaat, tetapi terlibat secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata projek berkenaan selari dengan Pelan Tindakan Khas Bandar Baharu Paya Besar 2070, selain kos pembinaannya melibatkan peruntukan Kementerian Kewangan, peruntukan Ahli Parlimen serta sumbangan beberapa agensi kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan