Ad Banner
 AM > BERITA

Banjir: Mangsa Di Pahang Dan Sarawak Meningkat, Johor Menurun

03/01/2026 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Sarawak mencatatkan sedikit peningkatan manakala Johor menurun dengan keseluruhan mangsa sebanyak 1,538 orang pada pagi ini.

Di PAHANG, portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jumlah mangsa di Raub meningkat kepada 83 orang daripada 17 keluarga berbanding 74 orang daripada 15 keluarga petang semalam, dengan mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  Sekolah Kebangsaan Ulu Atok.

Laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bacaan paras air di stesen sungai utama di seluruh Pahang masih di bawah paras bahaya.

Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,343 orang daripada 342 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 1,320 orang daripada 338 keluarga malam tadi.

Peningkatan mangsa direkodkan di PPS Masjid Darul Istiqlaal, Kuching dan PPS SJKC Chung Hwa, Lawas manakala jumlah di sembilan lagi PPS kekal, iaitu di Dewan Masyarakat Stapok, Dewan R, Piang Kampung Sinar Budi Baru dan Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu. 

PPS lain ialah Dewan Surau Nurul Najhin Stapok, Dewan Serbaguna Taman Malihah, SJK Chung Hua Sungai Tengah, SJK Chung Hua Batu Kawa, Dewan Suarah Kota Samarahan dan Dewan Masyarakat Trusan.

Sementara itu di JOHOR, Pengerusi JPBN Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata sebanyak 112 orang daripada 31 keluarga masih berada di lima PPS di Segamat, menurun berbanding 134 orang daripada 36 keluarga semalam.

PPS Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 40 orang daripada 12 keluarga, Dewan Serbaguna Kampung Tasek (18 orang, lima keluarga), Balai Raya Kampung Sanglang (14 orang, empat keluarga), Balai Raya Kuala Paya (23 orang, lima keluarga) dan Dewan Serbaguna Kampung Tandong (17 orang, lima keluarga).

“Setakat pagi ini, tiada amaran ribut petir dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia namun, daerah Segamat dilaporkan hujan manakala Johor Bahru dan Mersing mendung,” katanya.

Beliau berkata Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat melepasi paras bahaya dengan bacaan 8.53 meter manakala Sungai Tekam di Jeti Sungai Tekam berada pada paras amaran dengan bacaan 3.99 meter. 

Di SABAH, JPBN memaklumkan sebanyak 190 orang daripada 75 keluarga di Beaufort dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon lewat malam tadi.

“Sebanyak empat kampung terjejas di Beaufort. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” menurut JPBN dalam kenyataan hari ini.

Pemantauan paras air dilakukan pihak berkuasa serta agensi penyelamat dan penduduk dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan keselamatan.

-- BERNAMA

 

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan