Ad Banner
 AM > BERITA

Operasi SAR Mangsa Dibaham Buaya Di Pulau Bruit Ditamatkan

02/01/2026 09:29 PM

MUKAH, 2 Jan (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki dipercayai dibaham buaya di Jeti Sungai Kelai, Rumah Panjang Jingga, Pulau Bruit ditamatkan hari ini selepas mangsa gagal ditemukan.

Keputusan menamatkan operasi itu dibuat dalam mesyuarat melibatkan semua agensi berkaitan pada 2 petang tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi SAR hari ketujuh bagi mencari mangsa Agustine Fernando Nyalong, 14, bermula seawal 9 pagi dengan penglibatan beberapa agensi keselamatan serta penduduk kampung.

Pencarian tertumpu berhampiran lokasi kejadian hingga kawasan berhampiran Kampung Sebako.

“Bagaimanapun, tiada penemuan buaya yang terperangkap di kesemua jerat dipasang,” menurut kenyataan itu.

Operasi turut berdepan kesukaran berikutan hujan lebat dan keadaan sungai bergelora. 

“Susulan perbincangan dan persetujuan bersama semua agensi, ahli keluarga mangsa serta penduduk kampung, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 4.10 petang,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam kejadian Jumaat lepas, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya, dengan kejadian itu disaksikan rakannya sebelum dimaklumkan kepada penduduk kampung.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan