Ad Banner
 AM > BERITA

SWCorp Peroleh 100 Motosikal Untuk Penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat

02/01/2026 03:49 PM

IPOH, 2 Jan (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memperoleh 100 motosikal khas bagi melaksanakan penguatkuasaan membabitkan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) untuk kesalahan membuang sampah kecil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata motosikal itu boleh digunakan untuk memasuki lorong bagi memantau keadaan setempat untuk menjaga kebersihan dengan pelancaran pasukan Motor Kit Penguatkuasaan SWCorp dibuat pada bulan lepas. 

“Dia (penguat kuasa menggunakan motosikal) ada untuk menjaga kebersihan dan memakai uniform seperti penguat kuasa. Mereka (antara lain akan) mengambil keterangan dan mengeluarkan kompaun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nga berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja rasmi Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bercham di Dewan Kampung Tawas di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata kira-kira 300 penguat kuasa telah diberikan latihan khusus untuk melaksanakan PKM bagi kesalahan membuang sampah kecil.

“Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman, mereka (pesalah) akan dibawa oleh penguat kuasa ke tempat awam untuk diberikan jaket hijau dan membantu pekerja pembersihan,” katanya.

Terdahulu, Nga pada sidang media selepas melawat Bandar Baru Medan Ipoh, berkata antara kerja khidmat masyarakat kepada pesalah PKM ialah menyapu jalan, mencuci longkang, membersihkan tandas awam dan mencantas pokok.

Beliau menegaskan PKM bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik dengan perintah itu turut membabitkan warga asing kerana tiada siapa yang mengatasi undang-undang negara ini.

Berkenaan negeri yang tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Nga berkata kerajaan negeri terlibat diberi tempoh enam bulan untuk mencari jalan mengadakan kerjasama strategik supaya PKM dapat dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan