Ad Banner
 AM > BERITA

Jumlah Mangsa Banjir Di Sarawak Meningkat, Melaka Pulih Sepenuhnya

01/01/2026 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak mencatatkan peningkatan mendadak petang ini, manakala situasi di Melaka pulih sepenuhnya dan Johor merekodkan penurunan.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 791 orang daripada 204 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 348 orang pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan mangsa terlibat dari beberapa kawasan sekitar bandar raya Kuching termasuk Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi Baru, Kampung Sungai Batu, Kampung Surih Iban, Taman Malihah dan Kampung Sejijak, dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif.

Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat berkurang kepada 136 orang daripada 37 keluarga berbanding 159 orang pada pagi tadi, dengan lima PPS masih beroperasi.

Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata PPS terbabit ialah Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Sanglang, Balai Raya Kuala Paya dan Dewan Serbaguna Kampung Tandong.

Beliau berkata dua sungai di Segamat masih melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 9.17 meter dan Jeti Sungai Tekam, 4.06 meter.

Dua jalan pula ditutup sepenuhnya, iaitu Jalan Felda Tenggaroh 3 di Mersing susulan kejadian cerun runtuh dan Jambatan Kesang-Sungai Rambai di Tangkak akibat jambatan rosak.

Sementara itu, di MELAKA, situasi banjir pulih sepenuhnya apabila PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu di Jasin ditutup pada 2.03 petang hari ini selepas semua 36 mangsa daripada lapan keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan