Ad Banner
 AM > BERITA

Selangor Laksana Kempen Derma Organ Tahun Hadapan, Sokong Agenda KKM

31/12/2025 02:00 PM

SHAH ALAM, 31 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang pelaksanaan kempen menggalakkan pendermaan organ dalam kalangan rakyat, sekali gus menyokong agenda Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memperkukuh sistem pendermaan dan pemindahan organ. 

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif berkenaan juga mengambil kira kadar pendermaan organ dalam negara yang masih rendah dan memerlukan perhatian serta tindakan bersepadu di semua peringkat.

“Kempen dirancang bukan sahaja memfokuskan kepada pendaftaran penderma, tetapi juga memberi penekanan kepada kesedaran awam supaya keluarga menghormati hasrat individu untuk menderma organ.

“Kita (Kerajaan Negeri Selangor) menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan kerana perkara ini memang penting dan memerlukan komitmen bersama,” katanya ketika dihubungi Bernama pada hari ini. 

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata pemindahan organ akan dirangka semula sebagai agenda kebangsaan selaras usaha KKM menstruktur semula Pusat Transplan Nasional (NTC) sebagai badan pusat untuk memacu dasar, pentadbiran dan penyelarasan seluruh negara.

Sementara itu, Pakar Sistem Kesihatan dan Ketua Pengarah Eksekutif Angsana Health Dr Khor Swee Kheng berkata kepakaran pemindahan organ sedia ada di hospital awam Malaysia mencukupi, namun kekangan utama ketika ini adalah kekurangan bekalan organ.

Beliau berkata perbandingan antarabangsa menunjukkan Malaysia masih ketinggalan dari segi kadar pemindahan organ, khususnya pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup.

“Kepakaran pemindahan organ wujud dan bersedia di dalam hospital awam Malaysia, dan kekangan organ memerlukan penyelesaian yang lebih sistemik.

“Di Arab Saudi, pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup dilakukan pada kadar 198 pemindahan per juta penduduk, manakala di Malaysia hanya sekitar 57 pemindahan per juta penduduk,” katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Rafdzah Ahmad Zaki pula berkata usaha menjadikan pemindahan organ sebagai agenda kebangsaan merupakan langkah positif namun memerlukan penglibatan komuniti, sistem data yang kukuh serta kepercayaan masyarakat bagi meningkatkan kadar pendermaan sebenar.

Beliau berkata walaupun jumlah pendaftaran penderma adalah tinggi tetapi jika tidak diterjemahkan dan dijelaskan mengenai pendermaan sebenar, negara berkemungkinan akan terus berdepan krisis bekalan organ.

Bagi menangani isu berkenaan, katanya Malaysia perlu mengutamakan pengenalpastian awal penderma, penempatan penyelaras pendermaan yang terlatih, pembinaan kepercayaan komuniti serta penyelarasan sistem yang kukuh.

“Oleh itu, usaha memperbaiki persepsi masyarakat terhadap pendermaan organ bukan sekadar meningkatkan kesedaran, tetapi memerlukan pembinaan kepercayaan, galakan perbincangan dalam keluarga serta penglibatan sistem perkhidmatan yang konsisten dan berempati.

“Langkah realistik dan berimpak tinggi ialah meningkatkan kadar penukaran penderma berpotensi kepada penderma sebenar selain usaha ini boleh dilaksanakan melalui penambahbaikan sistem pengenalpastian serta rujukan awal penderma berpotensi, di samping penempatan penyelaras pendermaan yang terlatih di semua hospital utama,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan