Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ekspres Selatan Melabuh Tirai, Kenangan Dan Jasa Wira Terus Terukir Di Atas Rel

31/12/2025 12:35 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari dan Nur Faradilla Mohamad

GEMAS, 31 Dis (Bernama) -- Detik perkhidmatan tren Ekspres Selatan (ES) melabuh tirai operasinya bermula esok bukan sekadar menandai penghujung sebuah perkhidmatan rel, sebaliknya membuka helaian kenangan yang sarat makna serta menyingkap jasa wira di sebalik tabir, yang setia memastikan setiap derapan lokomotif diesel bergerak selamat dan tepat ke destinasi.

Di sebalik bunyi hon dan gegaran besi di atas landasan, tersimpan kisah pengorbanan insan-insan yang bekerja tanpa sorotan cahaya, memikul amanah besar demi keselamatan ribuan penumpang — termasuk Eksekutif Kanan Depoh Kejuruteraan dan Penyenggaraan Stokereta Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Gemas, Rosnizam Ahmad Yunus.

Seawal subuh, sebelum kota terjaga dan kabus masih menyelimuti depoh, Rosnizam, 41, bersama pasukannya telah berkumpul bagi meneliti jadual tren yang bakal beroperasi pada hari berkenaan, memastikan setiap perjalanan bermula dengan keyakinan dan berakhir dengan selamat.

“Kami sentiasa menitikberatkan pemeriksaan praperjalanan, memastikan setiap komponen utama seperti sistem brek, peralatan isyarat, roda dan gandar, ‘bogie’ serta sistem kuasa berada dalam keadaan optimum.

“Pemeriksaan ini bukan sekadar rutin, sebaliknya benteng awal untuk mengesan petunjuk kerosakan agar tren dapat beroperasi mengikut jadual tanpa risiko gangguan atau kelewatan,” katanya ketika ditemui Bernama di Stesen KTMB Gemas baru-baru ini.

Meskipun tugasan itu kelihatan rutin, namun setiap hari membawa cabaran berbeza yang memerlukan ketelitian tinggi, termasuk mengesan bunyi, getaran atau perubahan kecil pada tren yang mempunyai makna tersendiri dan perlu diperiksa segera.

Meskipun kelihatan berulang saban hari, setiap tugasan membawa cabaran berbeza yang menuntut ketelitian tinggi, daripada mengesan bunyi halus, getaran luar biasa hinggalah perubahan kecil yang membawa makna besar dan perlu ditangani segera.

Antara komponen yang paling kerap menunjukkan tanda awal masalah ialah sistem brek, roda dan ‘bogie’, selain sistem elektrik, pintu automatik serta sistem penyaman udara berkelajuan tinggi (HVAC).

Memulakan kerjaya sebagai pemeriksa tren kargo di Depoh Pelabuhan Klang, Selangor pada 2006, Rosnizam berkata cabaran terbesar pasukan penyelenggaraan adalah melaksanakan pemeriksaan praperjalanan dalam tempoh singkat, khususnya ketika situasi ‘multiple departure’.

Cuaca buruk, pencahayaan terhad dan ruang kerja sempit di bawah tren sering menyukarkan pemeriksaan visual, ditambah pula dengan kekangan peralatan diagnostik yang tidak lengkap atau rosak.

Beliau turut mengimbau satu momen yang terpahat dalam ingatan apabila sebuah koc Ekspres Selatan mengalami masalah sistem brek kira-kira 10 tahun lalu, ketika masa pelepasan tren hanya berbaki 15 minit.

“Namun selepas punca dikenal pasti dan komponen diganti, sistem brek kembali berfungsi dengan baik. Saat melihat tren itu akhirnya bergerak meninggalkan stesen, saya berasa bangga kerana usaha kami tidak sia-sia,” katanya.

Bagi Senior Locomotive Inspector (SLI) Stesen KTMB Gemas, Mohd Kamal Asmawi, 49, yang memantau operasi kru dan lokomotif dari Tumpat, Johor Bahru, Kuala Lumpur hingga Gemas, peralihan ke era Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) mungkin membawa kecekapan moden, namun nilai sentimental Ekspres Selatan kekal tersemat di hatinya.

“Sebagai anak Johor, saya berbangga melihat kemajuan ini, daripada lokomotif diesel kepada elektrik yang memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan keselesaan penumpang.

“Namun, ada nostalgia yang perlahan-lahan menghilang. Generasi lama masih mengingati pengalaman menaiki tren malam, singgah makan di stesen, suasana santai di platform serta proses pemisahan gerabak di Gemas untuk laluan berbeza,” katanya.

Beliau yang memulakan kerjaya sebagai pemandu lokomotif pada 1996 berkata kenangan itu sukar dirasai generasi muda hari ini, memandangkan kebanyakan perkhidmatan kini menggunakan laluan terus tanpa hentian panjang.

Berbakti hampir tiga dekad, Mohd Kamal telah melalui pelbagai fasa perubahan, daripada gegaran enjin diesel yang membangunkan pagi, hinggalah keheningan tren elektrik moden yang meluncur senyap di atas landasan berkembar.

“Banyak memori saya bermula di Gemas…lokomotif, bau minyak, bunyi hon, platform yang riuh, semuanya sebahagian daripada hidup saya,” katanya.

Menurut beliau, peralihan kepada ETS membawa peningkatan ketara dari segi masa perjalanan dan kemudahan penumpang yang tidak lagi perlu menukar tren di Gemas, sekali gus mengurangkan keletihan dan memudahkan pengurusan bagasi.

Anak jati Batu Pahat itu turut berkongsi kenangan paling bermakna dalam kerjayanya apabila diberi peluang membimbing teknik pemanduan lokomotif hingga ETS kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bermula dari era landasan tunggal hingga siapnya landasan berkembar.

“Sepanjang berkhidmat, saya berpeluang ‘command and conduct’ Tuanku Sultan Johor. Tuanku sangat berjiwa rakyat dan sejak baginda terlibat, pada pandangan saya projek ini bergerak lebih pantas.

“Saya bersyukur dapat menyaksikan sendiri perjalanan perkhidmatan rel negara daripada era diesel ke elektrik, dan berharap kemajuan ini terus memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.

Semalam, KTMB mengumumkan perkhidmatan Ekspres Selatan bagi laluan Gemas–JB Sentral–Gemas akan ditamatkan berkuat kuasa 1 Jan 2026, sebagai sebahagian pengoptimuman operasi perkhidmatan penumpang di jajaran selatan sejajar kemajuan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.

Dahulu dikenali sebagai Shuttle Selatan, perkhidmatan ini pernah menjadi nadi perjalanan antara Gemas dan Woodlands dengan nombor tren 61 dan 62,  sebuah legasi yang kini berlabuh, namun kenangannya akan terus hidup di rel sejarah negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan