Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Malaysia membuka tirai Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) secara rasminya bermula esok, menandakan permulaan satu kempen pelancongan nasional berskala besar dengan matlamat mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Lebih daripada sekadar kempen promosi, VM2026 digerakkan sebagai pemacu ekonomi baharu yang menyasarkan lonjakan pelawat domestik dan antarabangsa menerusi penawaran pengalaman pelancongan bernilai tinggi, pelbagai dan relevan dengan keperluan pelancong global masa kini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata kempen itu dirangka dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan teras negara, iaitu kepelbagaian budaya, khazanah alam semula jadi dan warisan sejarah, sekali gus memperkukuh jenama ‘Malaysia Truly Asia’ di pentas global.
Menurut beliau, Malaysia kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan pelaksanaan VM2026, yang digerakkan menerusi pendekatan pelbagai dimensi, menekankan peningkatan keterhubungan, pengukuhan kerjasama strategik serta pemacuan pertumbuhan pelancongan mampan dan bernilai tinggi.
“Fokus utama VM2026 adalah menarik pelawat berkualiti melalui tawaran pelancongan berteraskan pengalaman, memastikan pertumbuhan yang inklusif serta memberikan manfaat kepada komuniti setempat di seluruh negara,” katanya kepada Bernama.
VM2026 menyasarkan ketibaan 43 juta pelawat antarabangsa di samping memberikan penekanan berterusan terhadap peranan penting pelancong domestik.
Sepanjang 2026, lebih 300 acara utama akan dilaksanakan menerusi ‘Calendar of Events VM2026’ antaranya, Petronas Grand Prix of Malaysia, Rainforest World Music Festival serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia.
Malaysia juga bakal menyambut ketibaan tahun baharu dengan penganjuran sambutan khas di 55 pintu masuk antarabangsa serta hab pengangkutan utama negara bagi mengalu-alukan kedatangan pelawat sempena pelancaran rasmi VM2026, termasuk penganjuran VM2026 Countdown Festival pada 31 Dis 2025 di Pavilion Kuala Lumpur.
“Acara berprestij itu merupakan kolaborasi strategik antara MOTAC, Tourism Malaysia, Pavilion Kuala Lumpur dan The Fame Events yang akan menjadi pembuka tirai kepada tahun penuh aspirasi dalam menyemarakkan VM2026,” katanya.
Mengulas kelainan VM2026, Shaharuddin berkata kempen kali ini menekankan kepada dua tema utama, iaitu Destinasi Lestari dan Kaya Budaya yang menonjolkan keindahan alam semula jadi seperti hutan hujan tropika di Sabah dan Sarawak, Langkawi UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Global Geopark serta Taman Negara.
Kempen itu turut menyokong usaha pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar negara, termasuk spesies terancam seperti beruang matahari, orang utan dan Harimau Malaya, yang dikukuhkan dengan pemilihan beruang matahari sebagai maskot rasmi VM2026.
Selain alam semula jadi, VM2026 turut mengangkat kekayaan budaya dan cara hidup masyarakat majmuk Malaysia melalui warisan bersejarah seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town dan Melaka, di samping mempromosi hasil seni dan kraf tradisional termasuk batik, songket, perhiasan piuter dan ukiran kayu.
Dalam memposisikan Malaysia sebagai ‘Affordable Luxury Destination’, beliau berkata pelbagai kempen membeli-belah seperti Malaysia Mega Sale Campaign (MMSC) dan Malaysia Year-End-Sales (MYES) akan dilaksanakan bagi menggalakkan pelawat untuk berbelanja di negara ini.
“Inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negara yang berdaya tahan dan lestari selain mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengimbangi pertumbuhan pelancongan global dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta sosial,” katanya.
Bagi memastikan kualiti perkhidmatan, Tourism Malaysia komited memperkukuh inisiatif pelancongan berkualiti yang menggalakkan tempoh penginapan lebih lama, perbelanjaan lebih tinggi dan penglibatan yang lebih mendalam.
Usaha itu, menurut Shaharuddin turut merangkumi pengenalan pakej mesra semua segmen masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), antaranya pakej selaman skuba terapeutik Diveheart Malaysia.
Sebagai sokongan, pelbagai geran dan insentif disediakan termasuk Geran Galakan Melancong Malaysia, Geran Sokongan Penggiat Kraf, Geran Sokongan Sektor Pelancongan serta Geran Padanan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC).
“Rangsangan perbelanjaan pelawat merentasi sektor penginapan, makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan, hiburan dan MICE (Industri acara perniagaan atau Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan dan pelancongan serantau,” katanya
VM2026 bukan sekadar kempen promosi, tetapi satu strategi nasional untuk merangsang ekonomi, mencipta pekerjaan berkualiti, memperkasakan komuniti dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, sambil memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mampan dan berdaya saing pada peringkat global, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial