Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lantikan Exco Baharu Boleh Diteruskan, Minimum Empat Ahli - MB Perlis

30/12/2025 08:13 PM

KANGAR, 30 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu Perlis boleh diteruskan dengan sekurang-kurangnya empat ahli, susulan keputusan PAS untuk tidak menyertai barisan pentadbiran negeri di bawah kepimpinannya.

Beliau berkata jumlah minimum lantikan barisan Exco negeri ialah empat orang, iaitu satu pertiga daripada bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Lantikan Exco ini tidak akan ada masalah sebab minimum ialah empat (orang), ada empat tanpa Menteri Besar. Kalau dengan Menteri Besar jadi lima, maknanya kita boleh meneruskan penyusunan lantikan Exco dengan seberapa segera," katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa PAS memutuskan untuk tidak menganggotai Exco baharu yang akan dibentuk Abu Bakar.

Takiyuddin berkata semua anggota Exco sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti, seiring dengan peletakan jawatan Menteri Besar terdahulu, Mohd Shukri Ramli.

Mengulas lanjut, Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata portfolio barisan Exco baharu nanti berkemungkinan akan dirangkumkan atau dimansuhkan supaya tidak membebankan.

Abu Bakar, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis dari Bersatu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Ahad lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan