Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Prasarana Perkenal Mesin Kitar Semula Di Stesen Rel, Sokong Agenda Bandar Lestari

30/12/2025 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini memperkenalkan penggunaan mesin kitar semula (Reverse Vending Machine - RVM) di stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) tumpuan sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat bagi menyokong pembangunan mobiliti bandar mampan.

Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata pemasangan RVM di stesen rel tumpuan seperti Stesen Masjid Jamek dan Stesen KLCC selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Prasarana yang menyasarkan kadar kitar semula 30 peratus menjelang 2030.

Beliau berkata teknologi itu memberikan kemudahan kitar semula yang lebih mudah, sekali gus menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan penumpang pengangkutan awam dan komuniti bandar.

“Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan proses kitar semula, malah menggalakkan perubahan tingkah laku positif melalui teknologi pintar dan sistem ganjaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara mesin diperkenalkan ialah KLEAN, yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menerima botol plastik dan tin. Pengguna yang mengitar semula bahan terbabit akan diberikan mata ganjaran melalui aplikasi mudah alih Klean yang boleh ditebus kepada baucar rakan niaga terpilih seperti Zus Coffee, Grab dan Jaya Grocer.

Turut diperkenalkan ialah mesin kitar semula ATLAS ECOPOD yang digabungkan dengan mesin layan diri ATLAS Vending, memudahkan pengguna untuk mengitar semula dan menerima ganjaran digital untuk ditebus terus di mesin layan diri bersebelahan.

Kedua-dua mesin itu dilengkapi sistem penjejakan data untuk memantau penglibatan pengguna dan jumlah bahan kitar semula, sekali gus menyokong pelaksanaan inisiatif kelestarian berasaskan data.

Setakat ini, 16 unit RVM dipasang di fasiliti kendalian Prasarana, termasuk Menara Prasarana dan ibu pejabat Rapid Bus Sdn Bhd.

Prasarana turut mengalu-alukan kerjasama strategik serta penajaan sektor swasta bagi pemasangan RVM di stesen-stesen rel terpilih, sejajar dengan aspirasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke arah bandar raya lebih bersih, hijau dan lestari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan