Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JPN Saran Ibu Bapa Beri Hak Anak OKU Miliki MyKad

30/12/2025 03:42 PM

BACHOK, 30 Dis (Bernama) -- Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, disaran untuk memastikan kelahiran mereka didaftarkan bagi membolehkan golongan ini memiliki Mykad atau kad pengenalan diri, sekali gus melayakkan mereka menikmati pelbagai inisiatif bantuan kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Badrul Hisham Alias berkata pihaknya sentiasa komited untuk membantu mereka yang layak memiliki MyKad melalui pelbagai program mesra komuniti, termasuk program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

“Saranan kami, apa pun keadaan anak-anak sama ada normal atau orang kurang upaya (OKU), penting untuk daftarkan kelahiran kerana bila ada dokumen pengenalan diri semua faedah atau sumbangan kerajaan secara langsung dapat dinikmati.

“Dalam hal ini, JPN tidak pernah jemu membantu masyarakat di luar bandar dan bandar yang memerlukan khidmat kami, kerana azam kita ialah mahu memastikan semua warganegara yang layak berhak mendapat dokumen pengenalan diri ini,” katanya kepada pemberita selepas Program MEKAR Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Gong Tunga, di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga Disember tahun ini, JPN telah melaksanakan 3,300 program MEKAR di seluruh negara, membabitkan hampir 100,000 permohonan termasuk 200 program di Kelantan.

Dalam program tersebut, Badrul Hisham menyerahkan MyKad gantian kepada dua beradik OKU masalah pembelajaran iaitu Mohd Zaimi Mohd Noor, 48, dan Mohd Zulkufli Mohd Noor, 29, yang mempunyai masalah pengangkutan ke pejabat JPN.

Beliau berkata dua beradik itu adalah antara lima anak OKU kepada seorang pekebun, Mohd Noor Mohd Zain, 70, yang sukar diuruskan keluarga untuk dibawa keluar kerana dari kecil hanya menetap di rumah dan memerlukan pengawasan ketat.

“Kita harap dengan adanya Mykad gantian ini akan memudahkan keluarga ini mendapatkan bantuan lain yang berhak mereka terima, sekali gus mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung," katanya.

Badrul Hisham berharap semua pihak termasuk ketua komuniti, badan bukan kerajaan, orang perseorangan dan media dapat menyalurkan maklumat yang berkaitan kepada JPN agar semua warga negara yang layak dapat memiliki MyKad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan