Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peruntukan Tambahan Bayaran Balik RM4 Bilion Selesai Diproses Dan Dikreditkan - LHDN

30/12/2025 10:49 AM

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Keseluruhan peruntukan tambahan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM4 bilion, telah selesai diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 24 Dis, melibatkan 110,074 kes, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Dis, bahawa kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion, bagi mempercepat pembayaran yang masih tertunggak kepada pembayar cukai.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM19 bilion dan melibatkan 3,632,003 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Dis.

“Bagi tempoh 1 Jan hingga 8 Dis, sejumlah RM15 bilion telah diproses dengan lebih tiga juta kes direkodkan, manakala bagi tempoh 9 hingga 15 Dis, 16 hingga 18 Dis, 19 hingga 22 Dis dan 24 hingga 24 Dis, masing-masing amaun berjumlah RM1 bilion telah diproses.

“Dana tambahan RM1 bilion pertama yang diperuntukkan telah berjaya menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga tahun, tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat,” menurut kenyataan LHDN.

Dana RM3 bilion berikutnya telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia dua ke tiga tahun, dengan tumpuan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana.

LHDN turut menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada agensi itu adalah tepat dan terkini, bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.

Hal ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul, selain tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan.

“LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS,” menurut kenyataan LHDN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan