Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pahang Kembali Dilanda Banjir, Johor Catat Peningkatan Mangsa

29/12/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Pahang kembali dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan di Rompin dengan 49 mangsa daripada 13 keluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) manakala jumlah mangsa banjir di Segamat, Johor mencatatkan peningkatan, setakat 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan kesemua penduduk berkenaan ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Setajam, Rompin yang dibuka pada 12 tengah hari tadi. 

Laman web publicinfobanjir pula melaporkan paras air Sungai Rompin di Kampung Kerpal dan Sungai Pukin, Rompin telah melepasi tahap amaran setakat 3 petang tadi. 

Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 173 orang daripada 58 keluarga di tujuh PPS setakat 4 petang, berbanding 148 orang yang direkodkan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata sebanyak 40 mangsa berlindung di Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek (42 orang) dan Balai Raya Kampung Jabi (lima orang).

"Selain itu, 11 mangsa berteduh di PPS Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil (27 orang) serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tah Kang pula menempatkan 34 mangsa. 

“Sebanyak 14 orang pula dipindahkan ke Balai Raya Kampung Paya Lebar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Asman Shah memaklumkan dua sungai di Segamat melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dengan bacaan 20.12 meter (m) dan Sungai Muar di Buloh Kasap (8.66m).

Sementara itu, tiga jalan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan iaitu Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat susulan dinaiki air banjir; Felda Tenggaroh 3, Mersing (cerun runtuh) dan Jambatan Kesang-Sungai Rambai di Tangkak (jambatan retak). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan