Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelakon Vijay Tiba Di Kuala Lumpur Menjelang Pelancaran Audio Filem Jana Nayagan

26/12/2025 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Pelakon popular selatan India dan kini bergelar ahli politik, Vijay tiba di Kuala Lumpur hari ini, menjelang pelancaran audio filem terbaharunya Jana Nayagan, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini esok.

Menurut penganjur, Malik Streams Corporation, pelakon berusia 51 tahun itu berlepas dari Chennai dengan menaiki jet peribadi dan mendarat di Subang Skypark pada kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan).  selepas

Ketibaan artis itu mendapat perhatian meluas media sosial, yang dikongsi pada pelbagai platform.

“Ketibaan Vijay yang diiringi oleh pengarah muzik filem berkenaan, Anirudh Ravichander diserikan dengan persembahan tarian tradisional,” menurut penganjur kepada Bernama.

Vijay merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan para penari.

Sebelum ini, Vijay menyuarakan hasrat untuk mengurangkan penglibatan dalam aktiviti lakonan secara beransur-ansur bagi menumpukan kepada bidang politik. 

Menjelang acara berkenaan, maklumat berkaitan kehadiran kru produksi filem itu di Malaysia turut dikongsi di media sosial, termasuk hantaran yang memaparkan ketibaan petugas kreatif.

Pelancaran audio itu disifatkan sebagai program hiburan berbentuk penghargaan dan dijangka menarik kehadiran ramai penonton, dengan stadium berkenaan mampu menampung hingga kira-kira 85,000 peminat.

Program berkenaan akan berlangsung dalam dua segmen, bermula dengan Thalapathy Thiruvizha, iaitu konsert penghargaan yang menampilkan kira-kira 30 penyanyi, diikuti pelancaran audio rasmi.

Vijay serta anggota pelakon dan kru produksi dijadual berucap pada segmen pelancaran audio berkenaan. 

Beberapa tokoh terkenal industri perfileman Tamil, termasuk pengarah Atlee dan Nelson Dilipkumar, serta pelakon dan pengarah Prabhu Deva, turut berada di negara ini bagi menghadiri acara berkenaan.

Filem terbitan KVN Productions itu bakal ditayangkan pada 9 Jan 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan