Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Menteri Zahir Ucapan Krismas, Tekankan Keharmonian Dan Perpaduan

24/12/2025 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Menjelang sambutan Hari Krismas esok, beberapa menteri menzahirkan ucapan kepada penganut agama Kristian di negara ini sambil menekankan nilai keharmonian, perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat berbilang kaum.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Agong Dagang berkata keharmonian merupakan asas kepada kestabilan negara dan perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya prasyarat utama dalam pembinaan negara bangsa.

“Hari Natal mengingatkan kita bahawa keharmonian merupakan asas kepada kestabilan negara. Tanpa keharmonian, tiada keamanan; tanpa keamanan, sukar untuk kita membina sebuah negara yang stabil dan makmur,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran sama, beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian di Malaysia, serta berharap perayaan itu disambut dalam suasana kegembiraan dan kebersamaan bersama keluarga tersayang.

Dalam nada sama, Menteri Sumber Manusia R. Ramanan berkata sambutan Krismas menzahirkan nilai-nilai murni sejagat seperti kasih sayang, pengorbanan, keinsafan, kedamaian dan harapan yang penting dalam membina sebuah masyarakat harmoni serta saling menghormati, selaras dengan aspirasi dan kerangka Malaysia MADANI.

Beliau berkata dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya, sambutan Krismas mencerminkan keindahan kepelbagaian yang menjadi kekuatan utama negara, dengan semangat toleransi, kebersamaan dan perpaduan sebagai asas kepada kestabilan sosial serta kemakmuran bersama.

“Justeru, marilah kita bersama-sama mendukung dan menghormati penganut semua agama. Inilah masanya untuk menyerlahkan nilai-nilai yang menjadi pegangan penganut Kristian dan juga agama-agama lain, iaitu saling menghormati, bertoleransi antara satu sama lain serta membantu golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau turut berharap sambutan Krismas tahun ini membawa kegembiraan dan ketenangan jiwa, selain tahun baharu yang bakal menjelang membuka lembaran lebih baik, penuh dengan peluang, kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula menyifatkan Hari Natal sebagai peringatan tentang nilai kemanusiaan dan perpaduan yang mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Dalam zaman yang penuh cabaran ini, semangat inilah yang akan terus mengukuhkan ikatan antara kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.

Beliau berharap sambutan Hari Natal tahun ini dapat mempererat hubungan sesama rakyat, selain menyeru semua pihak terus berganding bahu demi membina Malaysia yang lebih bersatu, sejahtera dan berdaya tahan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Krismas kepada penganut agama Kristian di negara ini sempena sambutan perayaan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan