Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ahmad Zahid Adakan Pertemuan Dengan KSU Komunikasi

23/12/2025 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, sekali gus menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau di Kementerian itu.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata pertemuan yang berlangsung di Putrajaya itu, turut menjadi platform untuk merakamkan penghargaan kepada Abdul Halim atas kepimpinan beliau sepanjang menerajui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Saya seterusnya bertemu Ketua Pengarah NADMA yang baharu Tuan Meor Ismail Meor Hakim.

Perbincangan kami tertumpu kepada aspek kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, selain pengukuhan keupayaan tindak balas bencana agar lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau turut menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohammad Abiddin Abd Rahman, dengan menekankan peranan penting APM sebagai barisan hadapan dalam menjamin keselamatan rakyat.

Sesi itu turut disempurnakan dengan penyerahan Watikah Tauliah Ketua Pesuruhjaya APM kepada Mohammad Abiddin.

“Insya-Allah, semua pertemuan hari ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan sistem penyampaian Kerajaan sentiasa bersedia, tersusun dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan