Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Keputusan Mahkamah Tinggi Kes Najib Tidak Kurangkan Kuasa Pengampunan Diraja – AGC

23/12/2025 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Datuk Seri Najib Razak berhubung titah adendum tidak sama sekali mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri dalam memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Hakim Alice Loke Yee Ching, dalam penghakiman lisannya, turut mengiktiraf kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri berkenaan pengampunan.

“Kuasa pengampunan ini tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak lain. Namun, selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan, kuasa tersebut perlu dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat Perlembagaan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Menurut AGC keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan telah menjelaskan secara terperinci perjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri dalam memutuskan sesuatu pengampunan, sekali gus memperkukuh dan mengesahkan kuasa institusi diraja khususnya dalam hal ehwal permohonan pengampunan.

“Oleh itu, jabatan ini ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan yang cuba menghasut atau menggugat ketenteraman awam melalui tafsiran yang salah terhadap penghakiman mahkamah adalah amat tidak wajar, dan semua pihak perlu menghormati tindakan merayu yang telah diambil oleh Datuk Seri Najib,” menurut kenyataan itu.

AGC merujuk kepada laporan Malaysiakini semalam (22 Dis) dan beberapa saluran media lain mengenai kenyataan peguam Najib yang mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan titah adendum telah mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri berhubung pengampunan.

Menurut AGC, kenyataan berkenaan tidak benar sama sekali dan tidak mencerminkan alasan sebenar yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.

AGC memaklumkan ketika menolak permohonan semakan kehakiman Najib, Mahkamah Tinggi menegaskan bahawa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dijamin di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana diputuskan dalam keputusan duluan Mahkamah Atasan.

“Bagaimanapun, Perkara 42 juga memperuntukkan bahawa dalam melaksanakan kuasa prerogatif tersebut, Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri akan bersidang bersama Lembaga Pengampunan dalam memutuskan sesuatu permohonan pengampunan,” menurut jabatan itu.

Menurut AGC, berhubung kes Najib, Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 jelas menunjukkan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 semasa mesyuarat berkenaan.

Menurut kenyataan itu mesyuarat tersebut hanya membincangkan permohonan pengampunan penuh oleh Datuk Seri Najib, dan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada ketika itu hanyalah supaya hukuman penjara dikurangkan 50 peratus dan denda turut dikurangkan. 

“Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa titah tambahan untuk tahanan rumah tidak dibuat berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memandangkan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat yang sama,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.

Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta selepas pengampunan diraja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan