Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiga Empangan Di Pulau Pinang Catat Kapasiti Lebih 90 Peratus Menjelang Musim Kering

23/12/2025 03:47 PM

GEORGE TOWN, 23 Dis (Bernama) -- Tiga empangan utama di Pulau Pinang berada pada tahap optimum menjelang musim kering yang dijangka bermula Januari depan apabila mencatatkan kapasiti efektif melebihi 90 peratus berdasarkan bacaan setakat hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan berkata ia didorong faktor jumlah taburan hujan tinggi di kawasan tadahan air (KTA) empangan dari September hingga November susulan musim Monsun Timur Laut  yang dipengaruhi fenomena iklim La Nina.

“Buat pertama kali sejak 2017, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang melebihi paras 90 peratus dengan bacaan hari ini menunjukkan Empangan Teluk Bahang pada tahap 98.9 peratus, Empangan Air Itam (93.4 peratus) manakala Empangan Mengkuang Diperbesarkan (92.2 peratus).

“Status memberangsangkan di tiga empangan utama negeri ini memberi petanda positif terhadap kedudukan bekalan air negeri menjelang sambutan Krismas serta Tahun Baharu 2026,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pathmanathan berkata peningkatan kapasiti efektif itu turut disumbangkan oleh pelaksanaan beberapa inisiatif PBAPP termasuk Pelan Tindakan Empangan Air Itam, mengepam air ke kawasan perkhidmatan Air Itam dan Farlim dari Loji Rawatan Air Sungai Dua bagi meminimumkan pelepasan serta mengoptimumkan abstraksi air mentah dari muka sauk utama dan muka sauk tat.

Selain itu, PBAPP turut melaksanakan pengisian semula strategik Empangan Teluk Bahang berkapasiti 18,240 juta liter dengan air mentah disalurkan dari KTA Batu Ferringhi dan KTA Sungai Pinang. 

Bagaimanapun, beliau berkata taburan hujan di Pulau Pinang menunjukkan trend penurunan bulan ini dengan jangkaan musim kering bermula minggu kedua Januari 2026 manakala cuaca diramalkan kering pada Februari dan Mac, iaitu ketika sambutan Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, Pathmanathan berkata PBAPP dijangka melakukan pelepasan air secara ketara di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang bagi menyokong keperluan air semasa musim perayaan serta persediaan menghadapi peningkatan kehadiran tetamu luar dan pelancong.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan