KUCHING, 20 Dis (Bernama) -- Pelantikan dua Ahli Parlimen dari Sarawak sebagai Timbalan Menteri dalam rombakan Kabinet terbaharu disifatkan sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuh perwakilan negeri itu dalam pentadbiran Persekutuan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh jentera pentadbiran agar lebih mantap, seimbang dan berkeupayaan menghadapi cabaran semasa demi kepentingan rakyat dan negara.
“Berhubung pelantikan dua Ahli Parlimen dari Sarawak sebagai timbalan menteri, saya secara peribadi melihat perkembangan ini dari sudut positif dan konstruktif.
“Sekurang-kurangnya, walaupun terdapat perbezaan latar belakang politik di peringkat negeri, kita tetap bersama dalam kerangka kerjasama di peringkat Persekutuan sebagai sebahagian daripada Kerajaan MADANI. Justeru, perbezaan itu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha bersama demi kepentingan nasional,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Nanta berkata peningkatan jumlah wakil Sarawak yang diberi amanah sebagai timbalan menteri dapat membantu memperkukuh kefahaman terhadap keperluan dan aspirasi rakyat negeri itu, di samping menyumbang kepada penggubalan dasar lebih menyeluruh dan seimbang di peringkat nasional.
Ahli Parlimen Kapit itu bagaimanapun menegaskan tanggungjawab timbalan menteri yang dilantik tidak terhad kepada Sarawak semata-mata, sebaliknya meliputi amanah untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip pentadbiran Persekutuan yang bersifat nasional dan inklusif.
Dalam konteks itu, beliau berpandangan Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan wajar diberikan peluang sepenuhnya untuk membuktikan keupayaan serta kewibawaannya dalam mengurus dan membangunkan potensi belia serta ekosistem sukan negara.
“Begitu juga dengan Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man yang juga dilantik sebagai Timbalan Menteri (Pelancongan, Seni dan Budaya), sewajarnya diberikan ruang dan kepercayaan untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti,” katanya.
Pada Selasa lepas, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial