KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang diperkenalkan di bawah pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] tidak menetapkan sebarang had umur bagi perlindungan pekerja.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata seseorang pekerja layak dilindungi skim itu selagi masih bekerja walaupun telah melepasi umur 60 tahun.
“Selain itu, SKBBK tidak mempunyai kesan retrospektif, iaitu tidak meliputi kemalangan yang berlaku sebelum tarikh kuat kuasa.
“Skim ini hanya melindungi kemalangan yang berlaku selepas tarikh kuat kuasa RUU ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (2025) di Dewan Negara hari ini.
Ramanan berkata perlindungan SKBBK juga hanya meliputi kemalangan yang berlaku di dalam Malaysia kerana penguatkuasaan, siasatan dan pelaksanaan skim itu tertakluk kepada undang-undang negara ini.
Bagaimanapun, jika seseorang pekerja dihantar ke luar negara atas urusan rasmi majikan, perlindungan di bawah Skim Bencana Kerja masih terpakai sepanjang tempoh tugasan terbabit, termasuk untuk aktiviti harian yang munasabah seperti keluar makan, berhampiran tempat penginapan selepas waktu kerja.
“Namun, jika berlaku kemalangan semasa aktiviti peribadi yang tidak berkaitan dengan tugasan rasmi seperti bersiar-siar, membeli-belah ataupun melancong, perlindungan tidak terpakai.
“Ia juga tertakluk kepada siasatan lanjutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bergantung pada undang-undang yang sedia diguna pakai,” katanya.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan, Ramanan berkata pindaan itu antara lain melibatkan penetapan kadar caruman secara berperingkat serta menambah kategori caruman baharu bagi membolehkan pekerja mencarum SKBBK melalui majikan.
“Kadar caruman ditetapkan secara berperingkat dalam tiga fasa, iaitu 0.75 peratus pada fasa pertama, 1.0 peratus pada fasa kedua dan 1.25 peratus pada fasa ketiga.
“Pendekatan berperingkat ini memastikan impak kewangan kepada pekerja adalah minimum dan mampan,” katanya.
Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (2025) itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 11 senator.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial