Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pindaan Akta Profesion Undang-undang Beri Fleksibiliti Tindakan Demi Keberkesanan LPQB - Kulasegaran

17/12/2025 07:28 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Peruntukan pembatalan pelantikan tanpa sebab dalam pindaan Akta Profesion Undang-Undang bertujuan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk bertindak segera sekiranya wujud keadaan yang menjejaskan keberkesanan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata keadaan itu termasuk pelanggaran integriti, ketidakupayaan, ketidakpatuhan atau konflik kepentingan yang menjejaskan fungsi dan keberkesanan lembaga.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kuasa berkenaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana keputusan menteri tertakluk kepada prinsip undang-undang pentadbiran iaitu mesti rasional, munasabah dan tidak bersifat mala fide (niat jahat). 

“Menteri juga akan turut menimbangkan risiko kritikan awam dan kecaman politik sekiranya kuasa tersebut tidak digunakan secara wajar. Sebenarnya, sama ada pembatalan dengan sebab atau tanpa sebab, tidak berbangkit memandangkan mana-mana anggota yang dibatalkan pelantikan masih boleh memohon semakan kehakiman di mahkamah.

“Ini adalah satu proses undang-undang yang lazim di negara ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2025 yang kemudian diluluskan dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 11 senator.

Pindaan akta itu antara lain memberi kuasa kepada menteri untuk melantik anggota LPQB dan membatalkan pelantikan tanpa perlu memberikan sebarang sebab.

Bagaimanapun, Kulasegaran menjelaskan sebarang pembatalan pelantikan perlu disusuli dengan pelantikan pengganti berdasarkan pencalonan asal bagi memastikan keseimbangan struktur lembaga dan menteri tidak boleh mengubah perwakilan mengikut kehendak sendiri.

“Tambahan pula, pengawasan Parlimen, media, dan masyarakat memberi tekanan semak imbang kepada kerajaan supaya menggunakan kuasa ini dengan berhati-hati dan bertanggungjawab. Justeru, peruntukan ini bukan ancaman kepada integriti lembaga, sebaliknya berfungsi sebagai mekanisme keselamatan,” katanya.

Selain Rang Undang-Undang itu, Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Rukun Tetangga (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Perpaduan Negara yang antara lain menumpukan tempoh pelantikan Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga (AJKRT) dan memperkemas peruntukan sedia ada dalam Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751).

Menggulung rang undang-undang berkenaan, Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan takrifan baharu “orang yang mempunyai kepentingan” dalam pindaan akta merujuk kepada individu yang tinggal di luar Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tetapi menjalankan perniagaan, bekerja atau mempunyai pertalian darah keluarga dalam kawasan berkenaan.

"Untuk itu, latar belakang mereka ini akan diteliti sebelum pelantikan dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan. Pemastautin tetap (PR) juga tidak dibenarkan menjadi ahli jawatankuasa KRT antaranya disebabkan faktor perlindungan insurans kelompok yang hanya meliputi warganegara Malaysia.

“Hal ini kerana semua ahli jawatankuasa KRT, termasuk mediator dan petugas lain dilindungi di bawah insurans kelompok. Sekiranya bukan warganegara, mereka tidak layak mendapat perlindungan tersebut," katanya.

Beliau berkata larangan itu juga berkait dengan isu kedaulatan negara serta aspek keselamatan, khususnya melibatkan kawalan dan keselamatan komuniti, selain bagi mengelakkan kekeliruan dari segi status keanggotaan pada masa hadapan.

Pindaan pertama akta itu menetapkan tempoh pelantikan AJKRT selama tiga tahun setiap penggal, dihadkan kepada dua penggal berturut-turut atau maksimum enam tahun, dengan pelantikan semula bagi satu penggal tambahan tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah Rukun Tetangga.

Pindaan kedua memperkasakan akta sedia dengan takrif baharu “orang yang mempunyai kepentingan”, mengehadkan lantikan AJKRT kepada warganegara, melantik Ketua Pengarah Rukun Tetangga sebagai ketua jabatan, serta merangkumi pembatalan pelantikan, peletakan jawatan, penambahbaikan syarat keanggotaan dan pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan