Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rombakan Kabinet: Isyarat PM Anwar Mahu Barisan Menteri Lebih Cekap- Penganalisis

17/12/2025 05:26 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin dan Suraidah Roslan

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Pengumuman rombakan kali kedua barisan Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri semalam disifatkan sebagai isyarat jelas kepada anggota pentadbiran untuk meningkatkan kecekapan dalam pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan MADANI.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata langkah melakukan rombakan itu memperlihatkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas mahu anggota pentadbirannya lebih pragmatik dan bersifat “delivery-driven” dalam tempoh berbaki kira-kira dua tahun penggal pentadbiran kerajaan sekarang.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia itu berkata tiga aspek kritikal iaitu kos sara hidup, kemasukan pelaburan dan keyakinan rakyat, menjadi fokus utama perdana menteri dalam keputusannya untuk memperkasa barisan kepimpinan negara.

“Beberapa pertukaran portfolio menteri dan timbalan menteri mencerminkan pendekatan right person-right task, bukan sekadar menutup kelemahan prestasi, sebaliknya menyegarkan kementerian strategik sekali gus mengoptimumkan kekuatan individu tanpa rombakan drastik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas mengenai kejutan lantikan muka baharu Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari, sebagai Menteri Belia dan Sukan, Sivamurugan berkata ia satu pertaruhan awal terhadap bakat baharu yang dilihat lantang bersuara di Dewan Rakyat.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah Dr Jazimin Zakaria berkata barisan menteri dan timbalan menteri baharu yang dilantik sebagai anggota pentadbiran persekutuan perlu segera mengadaptasi tanggungjawab baharu mereka.

"Cuma tinggal lebih kurang dua tahun sahaja pentadbiran kerajaan ketika ini jadi ia bukan masa untuk bereksperimen," katanya sambil menyifatkan rombakan kabinet itu juga sebagai satu usaha untuk mengukuhkan kerjasama antara parti-parti politik di dalam gabungan Kerajaan MADANI.

Dalam pada itu Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban Shahidah Abdul Razak berkata rombakan kabinet ini boleh ditafsirkan sebagai usaha penyesuaian strategik perdana menteri terhadap fasa baharu pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Ia mencerminkan pendekatan ‘performance-oriented governance’, penempatan portfolio dilihat semakin berasaskan keupayaan teknokratik, pengalaman pengurusan dan kesesuaian dasar, berbanding pertimbangan politik kepartian.

"Kemasukan muka baharu pula membawa elemen regenerasi politik yang signifikan, memberi isyarat bahawa kerajaan sedar akan keperluan membina kepimpinan pelapis serta menyuntik idea segar ke dalam proses pembuatan dasar," katanya.

Pensyarah Kanan fakulti sama Dr Mazlan Che Soh pula berkata prestasi penyampaian, kecekapan membuat keputusan serta kemampuan bekerja secara rentas kementerian akan menjadi kayu ukur utama kepada semua barisan anggota pentadbiran baharu kerajaan.

Beliau berkata dengan hanya berbaki kira-kira dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum, kewujudan kabinet yang efektif amat penting bagi memastikan perancangan strategik negara, termasuk pelaksanaan dan permulaan agenda di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, dapat diterjemah sebaiknya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Selain pertukaran portfolio menteri sedia ada, ia antara lain melibatkan enam timbalan menteri dan satu muka baharu yang diangkat sebagai menteri penuh.

Rombakan Kabinet yang pertama Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dilaksanakan pada Disember 2023.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan