Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kelantan Bentang Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan Pada Mac Tahun Depan

17/12/2025 03:32 PM

KOTA BHARU, 17 Dis (Bernama) -- Kerajaan Kelantan dijangka membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Negeri Kelantan 2019 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata ketetapan itu dibuat selepas rang undang-undang (RUU) berkenaan telah perhalusi sepenuhnya oleh jawatankuasa pelaksana yang dilantik.

"Kita telah beberapa kali bermesyuarat termasuk jawatankuasa induk yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan dan sebagai timbalan saya telah teliti segala perkara berkaitan RUU ini

"Setakat ini, ia sudah berada pada tahap akhir selepas pertemuan dengan ahli majlis jemaah ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan diadakan dan sudah ubah beberapa perkara yang patut diubah. Kita jangka RUU ini akan dapat kita bentang dalam sidang DUN Mac tahun depan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd Asri berkata RUU itu sepatutnya dibentangkan tahun ini, namun terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa pindaan perlu dilakukan hasil teguran beberapa ahli jemaah.

Menurutnya, pindaan enakmen bukan sesuatu yang mudah dan perlu dilakukan dengan cermat agar menepati apa yang termaktub dalam perlembagaan negara.

"Pindaan semula enakmen ini kita lakukan sebaik mungkin.Dalam erti kata lain ia adalah format terbaik yang kita lakukan dengan lebih cermat dan lebih efisen dan seolah ia susah dicabar," katanya.

Pada Mac tahun lepas, DUN Kelantan telah meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb tahun lepas.

Sebelum ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan