Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LZS Terima Zakat Perniagaan RM22.15 Juta

16/12/2025 08:04 PM

SHAH ALAM, 16 Dis (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan berjumlah RM22.15 juta daripada 56 syarikat dalam Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) 2025 yang berlangsung di sini.

Dherbs Holdings Sdn Bhd mendahului senarai syarikat yang mengeluarkan zakat tertinggi dengan jumlah RM2 juta, diikuti Open University Malaysia (RM1,512,614), Afed Holdings (RM1,465,000), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (RM1,172,000) dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (RM1,093,836).

Turut menyerahkan zakat perniagaan masing-masing berjumlah RM1 juta adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd, Lembaga Juruukur Tanah dan Wawa Global Sdn Bhd.

Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail menerima zakat tersebut bagi pihak Lembaga Zakat Selangor pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi LZS Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari.

Sementara itu, Mohd Khaidzir dalam ucapannya memaklumkan LZS  mencatatkan kutipan zakat berjumlah RM827 juta setakat Oktober lalu, sekali gus membolehkan pihaknya membuat agihan sebanyak RM1.04 bilion.

Beliau berkata kutipan itu membabitkan 335,499 pembayar zakat, termasuk individu dan syarikat korporat sepanjang tempoh tersebut.

"Pada masa yang sama, penghujung tahun turut menyaksikan peningkatan keperluan isi rumah, termasuk persiapan persekolahan anak-anak, kos sara hidup serta keperluan kesihatan yang lazimnya berada pada tahap tertinggi.

"Bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan agihan zakat kepada asnaf, dianggarkan sebanyak RM346 juta lagi diperlukan sepanjang Disember ini, yang menuntut komitmen tinggi pembayar zakat agar tiada asnaf yang tercicir," katanya.

Mohd Khaidzir berkata bagi memastikan zakat dapat terus memainkan peranan sebagai mekanisme keadilan sosial yang unggul, LZS komited memperluaskan lagi jaringan pembayar serta kecekapan pengurusan zakat, selain memastikan setiap sen zakat diuruskan dengan penuh amanah dan integriti.

Pada majlis itu, LZS turut menyerahkan zakat kepada empat individu berjumlah RM346,238 merangkumi bantuan membina rumah, perniagaan dan perubatan.

LZS turut menyerahkan Wakalah Majikan Kerajaan sebanyak RM83,921.17 kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) selaku majikan yang melaksanakan potongan zakat melalui Ansuran Zakat Bulanan (AZB) berjumlah RM671,369.36 melibatkan 700 kakitangan sepanjang 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan