Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jurufoto Bernama Menang Tempat Kedua Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang 2025

16/12/2025 02:56 PM

GEORGE TOWN, 16 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meraih tempat kedua Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang (kategori foto kewartawanan) pada Anugerah Green Pinang 2025 yang berlangsung di Komtar, di sini hari ini.

Anugerah berkenaan dimenangi jurufoto Bernama Biro Pulau Pinang Muhammad Zainulariff Ahmad Sarbri, 30, menerusi karya foto bertajuk 'Penternakan Ikan Sangkar' yang dirakam di perairan Sungai Udang, Nibong Tebal sekali gus melayakkan beliau menerima wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo kepada Ketua Biro Bernama Pulau Pinang R.Ratcharathan yang mewakili Muhammad Zainulariff memandangkan beliau kini sedang membuat liputan temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

Berkongsi kegembiraan atas pengiktirafan itu, Muhammad Zainulariff berkata beliau bersyukur kerana usahanya membuat liputan eksklusif mengenai industri akuakultur di Sungai Udang yang merupakan kawasan penternakan paling besar melibatkan lebih 100 penternak pada Mac lepas membuahkan hasil.

"Saya sangat gembira memenangi Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang bagi kategori foto buat kali keempat dan kemenangan ini akan menjadi pemangkin kepada saya untuk terus menghasilkan lebih banyak foto-foto berkualiti di Pulau Mutiara ini," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Zainulariff yang berkhidmat di Bernama hampir 10 tahun itu berkata foto berkenaan dirakam ketika menyaksikan sendiri proses penternakan ikan di laut yang jauh lebih mencabar daripada jangkaan, terutamanya berdepan keadaan cuaca tidak menentu demi memastikan kelangsungan dan perkembangan ternakan.

Bagi kategori sama, tempat pertama dimenangi oleh jurufoto Lim Seow Wei dari Sin Chew Daily manakala tempat ketiga diraih oleh Mohamad Danial Mohamad Saad dari Berita Harian.

Sementara itu, Sundarajoo berkata penggerak media dan pencipta kandungan kreatif memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat, mendidik masyarakat serta membentuk persepsi awam terhadap isu-isu alam sekitar.

Beliau berkata peranan mereka dalam mencorak kelestarian Pulau Pinang bukan sekadar melaporkan cerita, malah membangkitkan kesedaran, membuka ruang dialog dan menginspirasikan tindakan.

"Setiap artikel, video, dokumentari atau kempen digital yang dihasilkan mempunyai kuasa untuk menggerakkan ribuan minda, mengubah sikap serta mempengaruhi keputusan yang membawa impak besar kepada alam sekitar," katanya.

Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Penang Green Council itu turut menyaksikan penyampaian Insentif Tadika Hijau Pulau Pinang 2025 dan Anugerah Pencipta Kandungan Lestari Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan