Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Musim Ke-28 DFP Dan MPO Tawar Persembahan Pelbagai Rentas Genre Dan Budaya

16/12/2025 10:20 AM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) akan memasuki musim konsert ke-28 pada 2026 dengan menawarkan program yang lebih pelbagai, merangkumi muzik klasik, rentas genre, tradisional, anime dan runut bunyi filem bagi menarik penonton pelbagai peringkat usia.

Dalam kenyataan bersama DFP dan MPO, tema Where Every Beat Tells A Story, musim baharu itu mengekalkan matlamat penubuhan kedua-duanya sejak 1998 untuk mengukuhkan apresiasi muzik serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat melalui persembahan bertaraf dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif DFP dan MPO Siti Azlina Abd Latif berkata muzik bukan sekadar hiburan tetapi bahasa sejagat yang mampu menyatukan masyarakat merentasi budaya, tradisi, generasi dan sempadan. 

“Pelaburan kami dalam bidang filharmonik mencerminkan kefahaman bahawa transformasi bukan sekadar apa yang dibina, tetapi juga siapa kami dalam proses itu.

“Dalam era algoritma dan automasi, ruang manusia berkumpul untuk mencipta dan menikmati keindahan bersama bukanlah kemewahan, tetapi satu keperluan bagi kemanusiaan kita secara kolektif.

“Tenaga menggerakkan ekonomi, tetapi seni menyuburkan masyarakat. DFP sebagai hab budaya yang dinamik dan MPO sebagai orkestra terkemuka di rantau ini komited memupuk apresiasi muzik dan budaya serta memberi inspirasi kepada masyarakat,” katanya.

Antara konsert utama yang dijadualkan ialah siri klasikal dipimpin Pengarah Muzik MPO Junichi Hirokami yang akan meneruskan visi artistiknya melalui konsert seperti A Chorale Spectacular, Memoirs of a Floral Fantasy, An Evening of Verdi dan Jazz, Classical & Beyond With the MPO.

Kenyataan itu menyebut musim 2026 turut menyaksikan penampilan sulung konduktor Aziz Shokhakimov, pemain piano Yukine Kuroki, pemain selo Santiago Canon-Valencia, pemain violin Elias David Moncado serta artis tempatan Belle Sisoski.

Tayangan filem di dewan konsert diiringi muzik live yang menjadi daya tarikan MPO juga diteruskan dengan empat persembahan iaitu Amadeus dan Madu Tiga karya P. Ramlee (Januari), Harry Potter and the Prisoner of Azkaban (April) dan Star Wars – A New Hope (Mei).

“Inovasi dalam perancangan program sebegini penting untuk memikat penonton baharu dan ia menyerlahkan hasrat MPO untuk merapatkan jurang dan meluaskan demografik penonton melalui muzik kami,” katanya.

Dalam siri rentas genre, MPO bakal berkolaborasi dengan artis antarabangsa seperti pemain violin dan vokalis Charles Yang serta pemain piano Peter Dugan dan Frank Dupree serta persembahan The Music of Queen pada Oktober dipimpin Brent Havens yang menggabungkan elemen rock dan orkestra.

Turut menjadi tumpuan ialah Cirque de la Symphonie pada Januari, dipimpin konduktor dan komposer muda negara Tengku Irfan yang menggabungkan unsur sarkas, akrobat dan muzik orkestra, manakala Konduktor Residen MPO Gerard Salonga pula akan memimpin konsert bersama kakaknya, bintang broadway Lea Salonga pada September dengan rangkaian lagu Broadway dan Disney.

Gerard turut mengendalikan konsert Symphonic Ghibli pada Julai yang dijangka menarik peminat animasi Jepun melalui seleksi muzik ikonik Studio Ghibli.

“Musim ini juga bakal menyaksikan MPO mengangkat legasi unggul Biduanita Negara Allahyarham Datuk Sharifah Aini (Jun) dan mendiang Alfonso Soliano (September) dalam konsert tribute di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose,” kata Siti Azlina.

Bagi menyokong artis tempatan dan generasi muda, kenyataan itu menyebut penyanyi tempatan bersuara lantang Jaclyn Victor akan meraikan perjalanan muzik dua dekadnya bersama MPO pada Oktober melalui persembahan lagu-lagu hit dengan gubahan orkestra, manakala penyanyi Indonesia Kunto Aji kembali ke DFP pada November untuk berkolaborasi dengan MPO dalam konsert Simfoni Mantra selepas persembahan solonya pada 2022.

Penyanyi popular Shila Amzah juga dijadualkan meraikan 25 tahun dalam industri muzik melalui sebuah konsert pada Mei menampilkan repertoir pelbagai bahasa dan genre, diiringi oleh band.

DFP turut mempersembahkan karya budaya termasuk Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors – An Adaptation pada Julai dan persembahan tarian kontemporari Yin & Yang: A Dance Kaleidoscope pada September sebagai usaha memelihara dan mempromosi warisan seni tempatan.

Dalam masa sama, MPO akan meneruskan program bimbingan intensif bersama Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) sebelum MPYO membuat persembahan di DFP bagi menyokong bakat muda.

Orang ramai boleh melayari mpo.com.my dan dfp.com.my untuk memuat turun brosur digital musim 2026 atau hubungi Box Office di 03-23317007 atau boxoffice@dfp.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan