Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Wartawan Bernama Teng Khoon Hock Menang Anugerah Wartawan Francais Terbaik

15/12/2025 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Teng Khoon Hock memenangi Anugerah Wartawan Francais Terbaik pada majlis Anugerah Francais Malaysia (MFA) 2025 yang berlangsung di sini malam ini.

Teng, yang juga koresponden Bernama di Thailand, menerima anugerah itu menerusi artikelnya bertajuk Malaysia Ready To Share Franchise Industry Regulation Experience With Thailand, yang disiarkan pada 13 Julai tahun lepas.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai begitu bermakna dan tidak menyangka artikel berkenaan akan membawa kepada kemenangan anugerah.

"Pada awalnya, saya hanya menjalankan tugasan membuat liputan lawatan kerja Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Bangkok, sambil cuba untuk mendapatkan sudut berita yang sesuai berkaitan dengan ASEAN," katanya ketika dihubungi.

Teng turut merakamkan penghargaan kepada Bernama dan editor di agensi itu atas kepercayaan, peluang dan kebebasan editorial yang diberi, sekali gus membolehkan beliau menghasilkan laporan berimpak yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada masyarakat, tetapi juga kepada negara.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Dr Radzali Hassan kepada wakil Bernama, iaitu Eksekutif Kanan (Jabatan Komersial) Nur Azyyati Ismail.

Acara berprestij itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan