KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- DXN Holdings Bhd (DXN), pengeluar produk nutraseutikal terkemuka dinobatkan pemenang Anugerah Kategori Sosial pada Anugerah The Exchange Asia ESG PLUS 2025.
DXN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan berkenaan mencerminkan komitmen berterusannya dalam memperkasakan komuniti, mempertingkat keterangkuman sosial dan menyokong kesejahteraan masyarakat jangka panjang di pasaran di mana syarikat itu beroperasi.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN Datuk Lim Siow Jin berkata falsafah syarikat itu sentiasa mahu memberi inspirasi terhadap kesihatan, maruah dan peluang kepada setiap individu untuk terlibat dengan hasil kerja mereka.
Beliau berkata anugerah berkenaan adalah pengiktirafan yang bermakna terhadap pelbagai komuniti, sukarelawan, rakan kongsi serta ahli DXN yang telah menyokong syarikat selama ini.
"Kami yakin impak sosial sebenar terhasil apabila keprihatinan diterjemah kepada tindakan dan apabila individu diperkasakan untuk meningkatkan kehidupan mereka sendiri.
“Anugerah ini memberi motivasi kepada kami untuk mempertingkat usaha agar hasil kerja kami terus membawa perubahan yang nyata kepada keluarga dan komuniti di seluruh dunia,” katanya.
Anugerah The Exchange Asia ESG PLUS meraikan organisasi yang menunjukkan kemajuan dan kepimpinan yang dapat diukur dalam bidang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) manakala pengiktirafan terbabit mencerminkan komitmen berterusan DXN dalam memupuk masyarakat global yang prihatin dan inklusif, berteraskan kesejahteraan, pendidikan, maruah dan pemerkasaan.
“Pencapaian DXN dalam Kategori Sosial turut memperlihatkan komitmennya yang teguh dalam melindungi hak dan kesejahteraan tenaga kerjanya di peringkat global.
“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam hak asasi manusia, syarikat telah memperkenalkan mekanisme keterlibatan dan perlindungan pekerja yang dipertingkatkan bagi memastikan ketelusan, maruah serta penghormatan terhadap semua pekerja di seluruh operasi syarikat,” menurut kenyataan itu.
Menurut DXN, inisiatif berkenaan menekankan kepercayaannya bahawa mendengar pandangan pekerja penting bagi mewujudkan rantaian bekalan yang beretika, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, selain selaras dengan piawaian buruh antarabangsa serta melengkapi komitmen ESG DXN yang lebih menyeluruh.
Dalam pada itu, menurut DXN, inisiatif impak sosial syarikat terbabit meliputi pelbagai bidang termasuk pembasmian kemiskinan, sokongan pendidikan, akses penjagaan kesihatan, program pemakanan serta pembangunan kesedaran global.
Teras kepada usaha berkenaan ialah kepercayaan bahawa perniagaan memiliki tanggungjawab untuk memajukan masyarakat, di samping mewujudkan nilai yang lestari.
“Pada tahun kewangan berakhir 28 Feb 2023, DXN menyalurkan lebih daripada RM5.3 juta kepada program komuniti, disusuli RM11.9 juta pada tahun berikutnya, membolehkan capaian yang bermakna melalui kerjasama dengan Yayasan Prihatin, institusi awam seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan rangkaian komuniti serantau,” menurut kenyataan itu.
DXN menggalakkan kesihatan kanak-kanak melalui kempen One Dollar One Child (ODOC), dengan memberikan sokongan kepada kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat pemakanan melalui pemeriksaan kesihatan, panduan pemakanan dan penjagaan perubatan di seluruh Malaysia, India serta negara lain menjelang Jun 2025.
Di Malaysia, syarikat itu menjalin kerjasama dengan pertubuhan berkaitan kerajaan dan badan kebajikan untuk memberikan impak melalui pelbagai inisiatif seperti Malaysia MADANI, pasar mudah alih MYGrocer, program sekolah serta sumbangan sebanyak RM3.5 juta kepada UTAR bagi menubuhkan sebuah klinik Ayurveda yang memajukan penjagaan kesihatan holistik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial