PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye bersetuju mempertingkatkan kerjasama teknikal dalam bidang pengauditan merangkumi perkongsian kepakaran dan pengalaman melalui pelaksanaan latihan bersama, lawatan kerja serta sesi perkongsian ilmu.
Menurut kenyataan Jabatan Audit Negara hari ini, kerjasama itu dipersetujui menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Audit Negara dan Turkish Court of Accounts (Institusi Audit Tertinggi - Supreme Audit Institution (SAI) Türkiye) yang dilaksanakan buat julung kalinya.
MoU itu dimeterai selepas Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menerima kunjungan hormat daripada President of the Turkish Court of Accounts Metin Yener di Ibu Pejabat jabatan itu di sini hari ini.
“Majlis tersebut sekali gus menzahirkan iltizam bersama kedua-dua institusi untuk memperkukuh hubungan profesional serta mempertingkatkan kerjasama teknikal dalam bidang pengauditan antara Malaysia dan Turkiye,” menurut kenyataan itu.
Bagi tempoh tiga tahun pertama pelaksanaannya, Pelan Tindakan MoU ini meliputi perkongsian bersama antara Jabatan Audit Negara dan Institusi Audit Tertinggi Turkiye dalam bidang pengauditan pendigitalan, perubahan iklim dan alam sekitar serta Matlamat Pembangunan Mampan di samping perkongsian khusus oleh setiap SAI dalam bidang pengauditan lain berasaskan kepakaran teras masing-masing.
“Pemeteraian MoU ini akan mempertingkatkan lagi hubungan erat institusi audit Malaysia dan Turkiye melalui penglibatan aktif dan kerjasama profesional dalam platform antarabangsa seperti Asian Organisation of Supreme Audit Institutions (ASOSAI) dan International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI),” menurut kenyataan itu.
SAI Turkiye kini merupakan ahli INTOSAI Working Group on Follow-up Audit (WGFA) dan ASOSAI Working Group on State-Owned Enterprises Audit (WGSOEA) yang dipengerusikan Ketua Audit Negara Malaysia.
Jabatan Audit Negara memaklumkan pemeteraian MoU ini diharapkan menjadi asas kepada kerjasama transformatif Malaysia dan Turkiye dalam menyokong agenda integriti, ketelusan dan keberkesanan pengurusan kewangan awam di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial