Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perak Laksana Program Feeder Mapping, Perkukuh Pengurusan Haiwan Jalanan

15/12/2025 03:49 PM

IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Perak akan melaksanakan program feeder mapping sebagai pendekatan berasaskan data bagi memperkukuh pengurusan haiwan jalanan secara lebih efisien di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata program itu bertujuan mengenal pasti lokasi tumpuan pemberian makanan haiwan jalanan bagi membolehkan perancangan pemandulan, pemantauan dan intervensi dijalankan secara lebih tersusun, berfokus serta berkesan.

"Program feeder mapping ini penting dalam memastikan usaha pengurusan haiwan jalanan dapat dilaksanakan secara berasaskan data dan lokasi sebenar, sekali gus mengurangkan pembiakan tidak terkawal. 

"Program ini terbuka kepada komuniti feeder (pemberi makanan), NGO (pertubuhan bukan kerajaan), sukarelawan serta individu yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan kebajikan haiwan jalanan," katanya pada sidang media berkenaan Aplikasi Feeder Mapping di bawah program Perak Pawsitive Initiative di sini hari ini.

Beliau berkata program itu dilaksanakan bermula 28 Dis ini, bersempena dengan Majlis Penutup Perak Pawsitive Initiative 2025 di Klinik Haiwan Menglembu di sini.

Ng berkata sebagai galakan penyertaan, pemberi makanan yang menghadiri Taklimat Feeder Mapping akan menerima kupon pemandulan bersubsidi bernilai RM50 yang boleh digunakan di empat klinik veterinar rakan kerjasama Perak Pawsitive Initiative dengan kupon itu sah digunakan mulai 1 Feb hingga 31 Julai 2026.  

Beliau berkata pada hari sama, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan Aplikasi Feeder Mapping sebagai satu langkah memanfaatkan teknologi digital dalam pengurusan haiwan jalanan.

"Pembangunan aplikasi ini selari dengan aspirasi bandar pintar, bertujuan memperkukuh penyelarasan data, perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang serta kerjasama antara agensi dan masyarakat," katanya.  

Justeru beliau berkata orang ramai, khususnya pemilik haiwan dan komuniti feeder, dijemput menyertai kempen pemandulan bersubsidi serta Program Feeder Mapping sebagai usaha bersama membina komuniti lebih selamat, harmoni dan berperikemanusiaan, selaras aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Beliau berkata Perak Pawsitive Initiative terus komited menangani isu haiwan jalanan secara mampan dan berperikemanusiaan melalui pendekatan kerjasama pelbagai pihak, pendidikan awam serta pelaksanaan program pemandulan bersubsidi secara berfasa di seluruh negeri. 

Ng berkata bagi 2025, Perak Pawsitive Initiative menyasarkan 1,000 haiwan dimandulkan melalui lima sesi utama yang dilaksanakan dengan penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, klinik veterinar rakan kerjasama, NGO serta komuniti setempat.  

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada sasaran tersebut, sesi kelima Perak Pawsitive Initiative 2025 akan diadakan pada 27 dan 28 Dis ini di Klinik Haiwan Menglembu dengan program itu menawarkan kempen pemandulan bersubsidi apabila pemilik hanya perlu membayar RM100 bagi anjing dan RM80 bagi kucing, manakala baki kos ditanggung melalui subsidi kerajaan negeri.  

"Pendaftaran bagi kempen ini boleh dibuat dengan mengimbas kod QR disediakan pada poster rasmi program. 

"Orang ramai khususnya pemilik haiwan digalakkan tampil mendaftar dan memanfaatkan subsidi yang disediakan, selaras dengan tanggungjawab sebagai pemilik haiwan beretika dan bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, berkenaan program memasukkan mikrocip bagi menangani isu haiwan jalanan, Ng berkata perkara berkenaan kini di peringkat semakan undang-undang.

"Untuk pemasangan mikrocip ini, pihak PBT di Perak ada buat kajian dan sebagainya sebab kita nak masukkan ia sebagai syarat dalam undang-undang kecil untuk lesen anjing. 

"Jadi sekarang di peringkat semakan undang-undang di negeri. Kita harap apabila diluluskan, kita boleh wartakan dan perluaskan pelaksanaannya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan