Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mesyuarat Khas ASEAN Berkaitan Ketegangan Sempadan Kemboja-Thailand Ditangguhkan – PM Anwar

15/12/2025 02:19 PM

Kuala Lumpur, 15 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN untuk menilai perkembangan terkini ketegangan sempadan yang berterusan antara Kemboja dan Thailand telah ditangguhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kedua-dua negara jiran itu telah meminta sedikit penundaan mesyuarat yang pada asalnya dijadualkan esok.

“Mereka (Kemboja dan Thailand) meminta sedikit penundaan mesyuarat. Oleh itu, kita menangguhkannya bagi memastikan semuanya berjalan dengan teratur.

“Bagaimanapun, kita terus menyeru kedua-dua pihak agar menghentikan sebarang pertikaian. Keadaan kini sangat kritikal, dan saya terus berhubung secara maya dengan mereka setiap hari,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan terkini ketegangan sempadan antara Kemboja dan Thailand.

Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan pelancaran buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Pengerusi IAIS Prof. Dr. Maszlee Malik dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mengulas laporan media bahawa Thailand telah mengenakan sekatan laut di Teluk Thailand bagi menghalang bekalan strategik sampai ke Kemboja, Anwar berkata rundingan sedang dijalankan untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu. 

Malaysia sebelum ini menyeru kedua-dua negara agar menghentikan segala bentuk permusuhan dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penempatan tentera bersenjata di barisan hadapan, mulai pukul 10 malam, 13 Dis waktu Thailand (11 malam waktu Malaysia).

Anwar berkata seruan tersebut disampaikan melalui perbualan telefon berasingan dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, susulan perbincangan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, berikutan ketegangan berterusan di sempadan kedua-dua negara.

Hun Manet dan Anutin Charnvirakul menandatangani perjanjian semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt lepas, yang disaksikan oleh Anwar dan Trump.

Di bawah perjanjian itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menamatkan permusuhan dan memupuk hubungan kejiranan yang baik antara satu sama lain.

Thailand dan Kemboja telah lama berselisih mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan