Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Platform Pesanan Internet, Media Sosial Lebih Lapan Juta Pengguna Akan Dianggap Berdaftar Mulai 1 Jan 2026 - MCMC

15/12/2025 12:28 PM

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Jan 2026, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.

“Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan MCMC hari ini.

Menurut MCMC, Peruntukan Deeming bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga.

“Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, berkuat kuasa 1 Januari 2026,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan itu hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.

Suruhanjaya turut menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global masing-masing seperti biasa, dan pendekatan itu sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.

"MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, terutamanya kanak-kanak dan keluarga, demi manfaat semua pengguna di Malaysia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan