KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya saringan terhadap kontraktor di Malaysia dilaksanakan bagi memastikan hanya golongan itu yang benar-benar aktif diketengahkan dalam industri pembinaan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah itu bertujuan mengelak persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan kelangsungan pemain sebenar dalam industri berkenaan.
“Ini (saringan) mesti dilakukan. Jika tidak, kita akan terus bersaing sesama sendiri. Persaingan ini ada yang sihat, tetapi banyak yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-46 di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Presiden PKMM Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.
Ahmad Zahid berkata selain itu, kepercayaan terhadap kementerian dan sistem sedia ada juga penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Beliau turut menyentuh isu kelewatan projek dan menegaskan adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kontraktor khususnya apabila pembayaran tidak dapat dibuat.
“Mungkin ada kira-kira lima hingga tujuh peratus kesalahan kontraktor... tetapi mana mungkin kontraktor mahu meneruskan kerja jika peruntukan yang ada tidak dibayar,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rosdi ketika ditemui pemberita berkata pelaksanaan saringan baharu itu diyakini mampu mengesan sebahagian besar pihak terlibat dalam kartel, yang sekali gus menjejaskan sektor pembinaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial