Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Barang Kemas Buatan Tangan Pengiat Seni Kuching Serlahkan Semangat Krismas

14/12/2025 12:13 PM

KUCHING, 14 Dis (Bernama) -- Apa yang bermula sebagai hobi seorang ibu sepenuh masa di rumah, kini berkembang menjadi perusahaan bermusim bagi seorang penggiat seni dari Kuching, Rena Kho, yang menzahirkan semangat Krismas menerusi penghasilan barangan kemas daripada tanah liat polimer, yang direka bentuk dengan teliti selain aksesori perhiasan buatan tangan.

Kho, 57, berkata aktiviti beliau dalam seni kraf tanah liat bermula pada 2013, selepas diperkenalkan kepada asas kerja tanah liat menerusi aktiviti gereja, sebelum memperhalusi kemahirannya melalui kursus khusus di Kuala Lumpur, Singapura dan Jepun.

“Pada awalnya, hasil kerja saya tertumpu kepada bunga dan figura tanah liat, sebelum bertukar kepada barangan kemas lapan tahun kemudian. Tanah liat polimer sangat menarik perhatian saya kerana dengan hanya sekeping kecil, kita boleh mencipta hampir apa sahaja,” katanya kepada Bernama.

Anak jati Kuching itu berkata tanah liat polimer, sangat sesuai untuk pembuatan barangan kemas kerana ia tahan lasak, boleh dibasuh dan mengekalkan warnanya selama bertahun-tahun selepas dibakar pada suhu tertentu.

Pemilik Rena’s Story itu berkata setiap hasil dibuat menggunakan tangan sepenuhnya, bermula daripada pengolahan konsep reka bentuk dan gabungan warna, sehinggalah kepada proses membentuk, membakar dan menyiapkan sentuhan akhir, dengan setiap sepasang anting-anting mengambil sekurang-kurangnya satu setengah jam untuk disiapkan.

“Bagi musim Krismas tahun ini, saya telah menghasilkan rekaan bertemakan perayaan yang menampilkan mawar merah dan ikon Krismas. Beberapa barangan seperti anting-anting berbentuk pokok Krismas telah habis terjual berikutan permintaan yang tinggi, namun ia akan ditambah lagi stoknya tidak lama lagi,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Selain jualan di gerai secara fizikal, beliau turut memasarkan hasil karyanya secara dalam talian melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, sekali gus membolehkannya mencapai kumpulan pelanggan yang lebih ramai di luar Kuching.

Menghayati Krismas sebagai musim kasih sayang dan perkongsian, Kho berkata beliau berhasrat untuk mencerminkan mesej perayaan tersebut melalui rekaannya itu, sambil menyebarkan kegembiraan kepada pelanggan daripada pelbagai latar belakang.

Selain hasil ciptaannya sendiri, beliau juga menghimpunkan sekumpulan kecil penggiat seni wanita dari Sarawak, kebanyakannya suri rumah, untuk memasarkan secara bersama kraf buatan tangan termasuk aksesori micro-crochet, beg macrame dan seni resin.

Beliau berkata inisiatif itu membolehkan wanita, termasuk ibu muda, menjana pendapatan dari rumah sambil mengurus tanggungjawab keluarga, sekali gus menukar hobi peribadi kepada sumber rezeki yang mampan.

Kho berkata musim perayaan seperti Krismas, memberikan rangsangan besar kepada perniagaan kraf kecil, dengan jualan sepanjang acara perayaan selama sebulan mencecah sehingga RM30,000, termasuk produk yang dihasilkan oleh rakan-rakan penggiat seni.

“Memberi kembali kepada masyarakat merupakan sebahagian penting daripada tradisi Krismas, oleh itu sebahagian daripada pendapatan kami disumbangkan setiap tahun kepada badan kebajikan, khususnya kepada The Salvation Army,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan