Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JAS Selesai Laksana 22 Projek Di Bawah Kampung Angkat MADANI Kampung Linggi, Port Dickson

13/12/2025 06:52 PM

SEREMBAN, 13 Dis (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) selesai melaksanakan sepenuhnya 22 projek dan program di kampung Linggi, Port Dickson di sini di bawah program Kampung Angkat MADANI jabatan itu, sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata kesemua projek berkenaan di bawah lima skop utama membabitkan Pusat Advokasi Alam Sekitar, Sekolah Lestari, Masjid Lestari, Dewan Orang Ramai dan Balai Raya Lestari serta Gotong-Royong Lestari.

“Antara projek tersebut ialah pemasangan sistem solar berkapasiti 9.3 kiloWatt-peak (kWp) di Dewan Orang Ramai Linggi dan 18.6 kWp di Masjid Sheikh Jamaluddin Al-Linggi, yang dijangka menjimatkan bil elektrik tahunan masing-masing sebanyak RM6,000 dan RM12,000.

“Selain itu, penubuhan Pusat Advokasi Alam Sekitar yang berfungsi sebagai pusat rujukan masyarakat mengenai pengurusan dan kelestarian alam sekitar, dan program pengenalan dan bimbingan Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar serta gotong-royong lestari bersama komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata Kampung Angkat MADANI jabatan itu, bukan sahaja menekankan aspek kelestarian alam sekitar malah dimensi pendidikan, teknologi dan pemerkasaan komuniti secara holistik, sekali gus berusaha membangunkan komuniti di Kampung Linggi secara mampan dan inklusif.

Beliau berkata pembudayaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat tidak boleh dikesampingkan, dan perlu diterapkan secara berterusan sebagai amalan hidup.

“Dalam hal ini, JAS berperanan penting bukan sahaja sebagai penguat kuasa undang-undang, tetapi sebagai pendidik, pemudah cara dan rakan strategik komuniti. Saya harap kerjasama dan komitmen ditunjukkan menerusi prgoram ini dapat diteruskan pada masa hadapan melalui program lain,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata JAS sentiasa komited meneruskan usaha kelestarian alam sekitar di Kampung Linggi serta mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada semua pihak, selain yakin kampung tersebut mampu menjadi model dan rujukan kepada kampung lain yang bakal melaksanakan program sedemikian pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan