Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kampung Angkat MADANI: 50 Penduduk Kampung Perak Terima Sumbangan Caruman SKSPS

13/12/2025 05:05 PM

KLUANG, 13 Dis (Bernama) -- Sebanyak 50 penduduk Kampung Perak, Simpang Renggam menerima manfaat sumbangan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM). 

Ketua Pengarahnya Kamal Pardi berkata caruman bagi tempoh setahun itu ditanggung sepenuhnya oleh JTKSM melalui peruntukan Kampung Angkat MADANI sebagai usaha menggalakkan pekerja sendiri mengutamakan aspek keselamatan dan perlindungan sosial ketika bekerja.

Beliau berkata semakan mendapati kebanyakan penduduk kampung itu bekerja sendiri sebagai pekebun kelapa sawit dan getah selain tukang rumah sekali gus terdedah kepada risiko kemalangan pekerjaan.

“Kita menggalakkan golongan ini mencarum dengan Perkeso supaya mempunyai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan semasa bekerja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI JTKSM di sini hari ini.

Kamal berkata Kampung Perak dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI JTKSM 2025 berdasarkan keperluan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas komuniti dengan kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan program itu.

Beliau berkata antara projek dilaksanakan ialah pembinaan dewan terbuka, pembelian van jenazah berserta kelengkapan, baik pulih dan naik taraf masjid serta balai raya yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.

Kamal berkata pemilihan Kampung Perak sebagai Kampung Angkat MADANI mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan diterajui Kementerian Kewangan bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar melalui pendekatan pembangunan bersepadu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan