KUALA LUMPUR, 13 Dis ( Bernama) -- Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos sara hidup yang dirasai seluruh lapisan masyarakat, Kerajaan MADANI menumpukan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Sehubungan itu, 2025 menjadi medan pelaksanaan pelbagai program di bawah inisiatif MADANI yang bukan sahaja bertujuan meredakan beban perbelanjaan isi rumah, malah memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara agar rakyat paling terkesan tidak tercicir.
Antara langkah utama ialah penambahbaikan dan peluasan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang disesuaikan berdasarkan realisi semasa kos hidup termasuk makanan, pendidikan dan pengangkutan.
STR merupakan program berasaskan bantuan tunai, manakala SARA berkonsepkan pembelian barangan keperluan asas menggunakan MyKad di premis terpilih, yang terbukti berkesan meringankan beban golongan memerlukan dengan penyaluran ditambah baik saban tahun
Peruntukan STR dan SARA turut ditingkatkan daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM13 bilion bagi 2025, dengan perluasan kategori penerima merangkumi isi rumah berpendapatan rendah, warga emas dan individu bujang berpendapatan rendah.
Setakat ini, lebih 5.4 juta penerima SARA bulanan di bawah STR menggunakan MyKad membeli barangan asas di premis berdaftar, dengan kadar penggunaan sebanyak 98 peratus dan nilai perbelanjaan sebanyak RM3.6 bilion setakat 3 Nov, manakala bagi penerima penghargaan SARA RM100 pula, lebih 18.3 juta rakyat atau 83 peratus berjaya memanfaatkannya melibatkan kos RM1.69 bilion.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program, kerajaan turut memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta badan dan bukan kerajaan (NGO) melalui inisiatif Payung Rahmah.
Antara usaha di bawah strategi berkenaan ialah Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas pada harga lebih rendah dan telah merekodkan kira-kira 21 juta transaksi dengan nilai jualan dianggarkan RM800 juta setakat Oktober lepas.
Tumpuan terhadap kebajikan rakyat turut merangkumi jaminan akses kepada subsidi petrol yang menjadi kebimbangan khususnya dalam kalangan M40, namun pengumuman kerajaan pada September lepas memberikan kelegaan apabila kumpulan itu turut layak menerima subsidi bersasar.
Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) memperkenalkan hala tuju baharu dalam penyasaran subsidi petrol dan memastikan manfaat dinikmati semua warganegara yang mempunyai lesen memandu aktif tanpa mengira pendapatan.
Inisiatif berkenaan menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat Malaysia pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran RM2.05 seliter, yang memberi manfaat kepada lebih 13.1 juta rakyat Malaysia daripada kira-kira 16.5 juta yang layak setakat 31 Okt.
BUDI95 turut menyumbang kepada penjimatan negara melebihi RM7 bilion hasil pelaksanaan subsidi bersasar serta penjimatan sekitar RM400 juta sebulan menerusi langkah rasionalisasi subsidi diesel.
Usaha menyokong kos sara hidup keluarga juga diperkukuh melalui Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid tahun satu hingga tingkatan enam, yang disalurkan lebih awal bagi membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan asas persekolahan.
Selain bantuan subsidi, kerajaan turut memperkasa pembangunan komuniti melalui program SejaTi MADANI dan inisiatif Kampung Angkat yang memberi tumpuan kepada pembaikan infrastruktur kecil seperti laluan kampung, lampu jalan dan kemudahan asas setempat.
Program berkenaan turut meliputi sokongan kebersihan, aktiviti pembelajaran dan usaha meningkatkan pendapatan penduduk bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Kerajaan juga memperkukuh jaringan keselamatan sosial melalui penambahbaikan bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), merangkumi bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak isi rumah miskin dan bantuan am di kawasan tertentu yang dikenal pasti memerlukan sokongan tambahan.
Secara keseluruhan, pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang 2025 menggambarkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terpelihara melalui pendekatan inklusif, mampan dan bersasar di bawah gagasan Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial