ALOR SETAR, 13 Dis (Bernama) -- Dewan Mu’adzam Shah di Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak dapat digunakan bagi Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada Khamis lepas atas faktor keselamatan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata pihaknya mendapati berlaku kerosakan pada struktur bumbung dewan berkenaan akibat hujan lebat yang berlaku dalam tempoh terdekat sebelum tarikh majlis itu.
"Untuk makluman, pihak pengurusan UUM telah membuat keputusan pada 1 Dis lepas bahawa Dewan Mu’adzam Shah tidak boleh digunakan bagi sebarang penganjuran program berskala besar buat sementara waktu.
"Keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan keselamatan mendapati berlakunya kerosakan pada struktur bumbung dewan," katanya dalam kenyataan hari ini bagi menjawab dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pembatalan majlis graduasi SADA di dewan berkenaan.
Ahmad Martadha berkata keputusan perubahan lokasi itu bukan dibuat dua hari sebelum program dilaksanakan pada Khamis seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
"Keputusan ini selaras dengan notis edaran melalui e-mel pada 7 Mac lepas kepada semua petugas UUM bahawa Dewan Mu’adzam Shah, Teater Eksperimen dan Dewan Tan Sri Othman terlibat dengan pelaksanaan projek menaik taraf dan membaik pulih membabitkan penggantian bumbung dan pembaikan infrastruktur mulai 14 Mei 2025 hingga 14 Nov 2027.
"Kerja-kerja tersebut hanya ditangguhkan sementara untuk memberikan laluan kepada Majlis Konvokesyen UUM pada November lepas," katanya.
Ahmad Martadha berkata sebagai sebuah institusi awam yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan pengunjung, UUM bertanggungjawab memastikan setiap fasiliti berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan.
"Dalam hal ini, keselamatan dan keselesaan keluarga besar SADA yang hadir ke majlis tersebut menjadi pertimbangan utama kami. Atas faktor itu, penggunaan dewan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan demi mengelakkan sebarang risiko.
"Walaupun berlaku pertukaran lokasi majlis, pihak UUM tetap memberikan sokongan penuh dan membantu menyediakan pinjaman jubah, sebahagian kerusi, serta pelbagai kemudahan lain yang mampu memastikan kelancaran majlis berkenaan," katanya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi menyatakan kekesalan dengan pihak pengurusan UUM yang didakwa membatalkan penggunaan dewan itu bagi Majlis Graduasi SADA pada saat-saat akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial