SEREMBAN, 13 Dis (Bernama) -- Negeri Sembilan sebagai perintis Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia bagi pelajar tingkatan enam berjaya mengumpul lebih 1,000 sukarelawan sejak ia bermula pada 2023.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata program itu berteraskan elemen kepimpinan, tanggungjawab sosial dan patriotisme berdasarkan enam rukun MADANI.
Beliau berkata program itu memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar berkualiti, berdaya saing dan berkarakter, sekali gus menyokong usaha membentuk generasi pemimpin masa hadapan.
“Golongan muda perlu lebih berinteraksi dengan pelbagai rakan baharu dan tidak hanya bersosial dalam kelompok yang sama selain nilai hormat-menghormati perlu terus diperkukuh.
“(Semasa berdepan sebarang isu) jangan ikut perasaan. Negara ada perlembagaan dan anak muda perlu berfikiran waras serta mempunyai pertimbangan," katanya.
Aminuddin berkata demikian pada sesi Dialog Awam Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia bagi Pelajar Tingkatan Enam di sini malam tadi bersama-sama 240 pelajar.
Beliau berkata program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dengan kerjasama Yayasan Negeri Sembilan dan Pertubuhan Penggerak MADANI Negeri Sembilan itu merupakan penanda aras kepada program seumpamanya di Malaysia.
Selain itu, beliau berkata semangat kebersamaan merupakan elemen paling penting kerana di situ terletak kekuatan sebenar negara.
“Saya ingin melihat anak-anak menjadi pemimpin, sama ada berkhidmat untuk negara, negeri, organisasi mahupun keluarga.
“Jadi pemimpin yang baik dan jangan rosakkan nama negara dengan rasuah. Belajar bersungguh-sungguh, cari ilmu dengan tekun dan gunakan budi bicara serta segala maklumat untuk membuat penilaian dengan bijak,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata sebanyak 42 sukarelawan terdiri daripada pelajar tingkatan enam, Penggerak MADANI dan Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (Permanis) Kebangsaan akan menyertai Global MADANI Outreach 2025 di Pekanbaru, Indonesia dari 20 hingga 23 Dis.
Program itu bertujuan berkongsi idea bersama-sama mahasiswa Indonesia dan akan memberi impak besar kepada peserta melalui jalinan ukhuwah dan pertukaran pandangan antara dua negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial