BACHOK, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memproses sebanyak 43,656 permohonan MyKad melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Badrul Hisham Alias berkata JPN komited membantu rakyat yang layak mendapatkan pengenalan diri dan hak kewarganegaraan melalui pelbagai inisiatif termasuk Program MEKAR.
“Setiap tahun kita menerima banyak kes membabitkan sijil kelahiran dan MyKad di seluruh negara, bukan tertumpu pada negeri tertentu sahaja. Namun JPN akan memastikan setiap individu yang layak memperoleh dokumen pengenalan mereka sekiranya memenuhi syarat.
“Saya juga menyeru ibu bapa, ahli keluarga dan pemimpin tempatan supaya lebih prihatin terhadap kepentingan mendaftarkan kelahiran kerana kelewatan berbuat demikian boleh menimbulkan pelbagai kesukaran pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan MyKad kepada Shaharuddin Basir, 58, pada Program MEKAR di Kampung Keting, di sini hari ini.
Badrul Hisham berkata pemilikan MyKad bukan sahaja sebagai bukti identiti dan kewarganegaraan, malah membolehkan rakyat menikmati pelbagai kemudahan termasuk subsidi serta bantuan di bawah kerajaan MADANI.
Mengulas mengenai kelewatan MyKad diberikan kepada Shaharuddin, beliau berkata ia berpunca daripada ketidaklengkapan maklumat pada sijil kelahiran.
“Ada sijil lahir, tetapi namanya tidak direkodkan dalam dokumen berkenaan. Perkara itu menimbulkan masalah ketika memohon MyKad dan mengambil masa lebih lama kerana JPN perlu membuat pindaan terlebih dahulu,” katanya.
Pada program berkenaan, Shaharuddin melahirkan rasa syukur apabila penantian 46 tahun untuk memiliki kad pengenalan akhirnya tercapai.
Bapa kepada 10 anak yang bekerja sebagai pesawah itu berkata ketiadaan MyKad sebelum ini menyukarkannya termasuk tidak dapat memiliki lesen memandu, tiada akaun bank dan tidak layak menerima sebarang bantuan kerajaan.
“Sudah lima kali saya memohon MyKad sejak berusia 12 tahun. Syukur akhirnya saya mendapatkannya. Dengan adanya dokumen penting ini, saya dapat memanfaatkannya sebaik mungkin termasuk membuka akaun bank sendiri,” katanya yang sebelum ini menggunakan akaun isterinya bagi urusan jualan padi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial