NIBONG TEBAL, 12 Dis (Bernama) -- Hampir 2,000 penduduk Kampung Permata Ara di sini menerima manfaat pelaksanaan projek Kampung Angkat MADANI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melibatkan naik taraf kemudahan asas, penambahbaikan infrastruktur komuniti serta program latihan kemahiran.
Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata projek itu kesinambungan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan penduduk luar bandar menikmati pembangunan lebih saksama selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025.
“Walaupun SPA bukan agensi pembangunan namun kepercayaan kerajaan membolehkan kami melaksanakan projek ini dengan sebaik yang mungkin dan tanpa peruntukan diberikan, projek berskala sebegini mustahil dijayakan,” katanya.
Ahmad Jailani berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI itu di Madrasah Permatang Ara, di sini hari ini.
Beliau berkata SPA menerima peruntukan RM1 juta untuk melaksanakan empat projek fizikal utama selain beberapa projek tambahan melibatkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MADANI melalui kerjasama GIATMARA.
Projek terlibat ialah menaik taraf Madrasah Permatang Ara termasuk membina semula bangunan kepada struktur konkrit setingkat yang lebih selamat, selesa dan inklusif selain dilengkapi sistem pendawaian baharu, penyaman udara serta tandas mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.
Kerja penambahbaikan Dewan Taman Kesumba turut dilaksanakan bagi menyediakan pusat aktiviti setempat lebih kondusif, menurap semula jalan kampung berhampiran madrasah, penambahbaikan pencahayaan dan pemasangan lampu solar untuk meningkatkan keselamatan penduduk, khususnya pada waktu malam.
Projek itu turut merangkumi kerja pembinaan laluan pejalan kaki di tanah perkuburan bersebelahan Masjid Baru (Utara) Sungai Bakap untuk memudahkan urusan ziarah serta pengebumian.
Ahmad Jailani berkata pembinaan semula madrasah komponen paling signifikan memandangkan struktur asal daripada kayu sudah uzur dan penilaian teknikal mendapati bangunan lama itu tidak lagi selamat.
“Jadi keseluruhan struktur perlu dibina baharu. Hasilnya, madrasah kini lebih selesa dan mampu menampung aktiviti komuniti termasuk kanak-kanak, warga emas dan OKU,” katanya.
Beliau berkata penglibatan GIATMARA melalui pendekatan latihan sambil kerja membabitkan tenaga pengajar dan pelatih bidang elektrikal, elektronik dan mekatronik memberi nilai tambah kepada peserta melalui pengalaman sebenar di lapangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial