Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jambatan Melaka-indonesia Bakal Direalisasikan

11/12/2025 09:54 PM

ALOR GAJAH, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri bakal merealisasikan pembinaan jambatan penghubung antara Melaka dan Indonesia melalui Pengkalan Balak, sekali gus menjadi ‘pintu gerbang’ dunia terakhir yang menghubungkan kedua-dua negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek mega itu dijangka dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara pada Januari tahun hadapan untuk penelitian lanjut sebelum diserahkan kepada pihak Indonesia. 

“Jarak dua lokasi ini hanyalah 47.7 kilometer atau sekitar 40 minit, sekali gus menjadi titik paling dekat antara kedua negara ini. Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan kos sekitar RM500,000 kepada syarikat perunding bagi mengkaji keberkesanan dan keupayaan jambatan ini untuk mengubah landskap ekonomi serta mobiliti serantau,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kilang Kedua EP Manufacturing Berhad dan Pengeluaran Pemasangan Pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk mengambil alih 5,000 hektar kawasan di Masjid Tanah bagi dijadikan zon perindustrian baharu yang mampu menarik pelbagai pelabur domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata kewujudan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di kawasan berhampiran juga dijangka bertindak sebagai pemangkin tambahan, menyokong pembangunan jambatan serta memperkukuh sektor ekonomi biru di Melaka.

“Ekonomi biru di Masjid Tanah dijangka memberikan pulangan terbaik kepada kerajaan negeri dan negara, termasuk peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan