Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Terus Pertingkat Tekanan Antarabangsa Terhadap Israel

11/12/2025 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia akan terus meningkatkan tekanan bagi memastikan rejim Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin, termasuk melalui pelaksanaan penuh keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata ini dinyatakan menerusi sokongan kuat dan penyertaan aktif Malaysia sejak sekian lama dalam prosiding pendapat nasihat ICJ mengenai Palestin, pada 2004, 2024 dan 2025.

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam prosiding pendapat nasihat terkini berkaitan kewajipan Israel berhubung kehadiran dan aktiviti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan antarabangsa lain serta negara ketiga di wilayah Palestin yang diduduki pada tahun ini, jelas mencerminkan pendirian tegas negara.

“Pada 22 Okt 2025, ICJ mengeluarkan pendapat yang berpihak kepada Palestin. Keputusan itu turut mengesahkan hujah-hujah perundangan Malaysia yang dikemukakan melalui kenyataan bertulis pada 28 Feb 2025 dan kenyataan lisan pada 28 April 2025 di ICJ dalam menyokong prosiding tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Hussin Ismail yang ingin tahu langkah dan usaha konkrit kerajaan di peringkat antarabangsa bagi memastikan Israel dikenakan tindakan sewajarnya di bawah undang-undang antarabangsa atas pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata dan jenayah terhadap penduduk Palestin.

Mohamad berkata prosiding pendapat nasihat ICJ pada 2004, 2024 dan 2025 amat penting kerana ia mengesahkan kependudukan haram Israel sebagai tidak sah, serta membuktikan tindakan rejim itu yang mencabar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia, termasuk hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Beliau berkata Malaysia melalui Kumpulan The Hague kini terus menerajui pelaksanaan keputusan-keputusan ICJ, termasuk melalui sekatan perdagangan terhadap Israel dan larangan kapal Israel berlabuh termasuk di negara ini.

“Keputusan ICJ merupakan kemenangan moral, politik dan perundangan bagi rakyat Palestin. Kini Malaysia juga sedang bekerjasama dengan negara-negara sependirian untuk mengemukakan usul, satu resolusi di Perhimpunan Agung PBB bagi melaksanakan pendapat nasihat terbaru ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan mengenai langkah diambil Malaysia berhubung rang undang-undang hukuman mati mandatori terhadap tahanan Palestin yang diluluskan bacaan kongres Israel baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa apa juga tindakan unilateral Israel terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

“Itu sebabnya Malaysia bersama banyak negara sependirian akan terus memberikan tekanan antarabangsa... kita bersama-sama dengan Kumpulan The Hague akan terus memberikan tekanan terhadap Israel supaya mereka patuh terhadap undang-undang antarabangsa dikeluarkan ICJ, kemudian diangkat semula ke PBB dan akan diperakukan.

"Insya-Allah 12 Dis (esok) akan ada undian terhadap pendapat nasihat yang diputuskan ICJ baru-baru ini. Ini penting dan kita juga minta PBB supaya melaksanakan apa jua sekatan yang boleh dikenakan terhadap Israel," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga mengekalkan pendirian menyokong kes Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ berhubung pencabulan Konvensyen Genosid 1948 serta tindakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi membendung budaya kekebalan daripada hukuman yang melindungi rejim Zionis.

Menjawab pertanyaan mengenai bantuan kepada Palestin dibangkitkan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Mohamad berkata Malaysia telah memulakan koordinasi dengan beberapa negara termasuk Jepun untuk pelan membina semula Gaza, dengan sebahagian daripada peruntukan RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan digunakan bagi tujuan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha pemulihan hanya boleh dimulakan apabila gencatan senjata penuh dilaksanakan selain memaklumkan kekangan pintu masuk bantuan yang belum stabil untuk membawa bekalan bantuan oleh badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan