Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Premier Sarawak Mulakan Lawatan Kerja Rasmi Empat Hari Di China

10/12/2025 08:54 PM

KUCHING, 10 Dis (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Nanjing pada Rabu untuk memulakan lawatan kerja rasmi selama empat hari di China.

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan hari ini, Abang Johari akan menyaksikan pemeteraian perjanjian rangka kerja dan Memorandum Persefahaman (MOU) antara PETROS dengan China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd (CJI) di Ibu Pejabat CJI di Nanjing pada Khamis.

Sebelum itu, lawatan kerja rasmi berkenaan dimulakan dengan sesi libat urus bersama-sama Jiangsu Provincial People’s Government di Xikang Guesthouse, Nanjing.

“Hari ketiga lawatan tertumpu kepada sesi berimpak tinggi di Suzhou Industrial Park (SIP), iaitu satu daripada hab pembangunan industri, teknologi dan inovasi paling berjaya di China,” menurut kenyataan itu.

Abang Johari dijadualkan mendengar taklimat pembangunan di dewan pameran and pusat sehenti, diikuti pertemuan rasmi bersama dengan jawatankuasa pentadbiran SIP serta lawatan ke beberapa syarikat terkemuka yang beroperasi di kawasan berkenaan.

“SIP yang terkenal dengan ekosistem pembuatan pintar, automasi dan penyelidikan teknologi tinggi menjadi rujukan penting dalam usaha Sarawak membangunkan model ekonomi berteraskan teknologi serta tenaga hijau, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri,” menurut kenyataan itu.

Abang Johari dijangka pulang pada Sabtu selepas menyempurnakan rangka lawatan rasmi di Nanjing dan Suzhou, yang turut disertai Pengerusi PETROS Tan Sri Hamid Bugo and Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan