Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pertimbang Bantuan Sewa Rumah Kepada Penduduk Puncak Arabella - ADUN

10/12/2025 04:07 PM

KUANTAN, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pahang diminta mempertimbangkan bantuan sewa rumah kepada penduduk Blok C Apartmen Puncak Arabella, Tanah Rata, Cameron Highlands yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di lereng bukit berhampiran pada 28 Nov lepas.

Ho Chi Yang (PH-Tanah Rata) berkata terdapat sembilan keluarga membabitkan 39 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika ini. 

“Maka, saya memohon agar bantuan sewa rumah boleh diberi kepada mangsa sementara menunggu cerun dibaiki,” katanya ketika perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands dilaporkan memaklumkan sebanyak 24 unit rumah melibatkan 91 orang mangsa dari Blok C kediaman itu telah diarahkan berpindah ke PPS di Dewan Puncak Arabella atas faktor keselamatan. 

Pada masa sama, Ho berkata insiden tanah runtuh seperti ini memberi peringatan bahawa adalah penting untuk meningkatkan penambahan sistem amaran awal tanah runtuh, terutamanya di kawasan perumahan di Cameron Highlands.

“Bagi cerun di kawasan perumahan pula, saya menyeru agar sejumlah peruntukan boleh disediakan oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri, khas kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk memasang sistem amaran awal tanah runtuh di kawasan perumahan yang mempunyai cerun dan berisiko,” katanya. 

Dalam perbahasan sama, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) turut memohon agar kerajaan negeri memberi perhatian segera terhadap masalah hakisan teruk akibat ombak kuat yang berlaku di Kampung Kuala Pontian sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata kejadian berkenaan telah mengancam keselamatan penduduk serta infrastruktur seperti 10 chalet, dua rumah dan sebuah restoran. 

Sehubungan itu, beliau memohon agar agensi yang dipertanggungjawabkan menangani masalah berkenaan, termasuk mempertimbangkan peruntukan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi membina benteng penahan ombak atau struktur bersesuaian. 

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan