Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MOTAC Salur Lebih RM10 Juta, Pergiat Usaha Promosi TMM 2026, TMNS 2026 - Exco

10/12/2025 01:31 PM

SEREMBAN, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan RM10.44 juta kepada Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, bagi melaksanakan pelbagai perancangan pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri Nicole Tan berkata peruntukan itu merupakan jumlah tertinggi berbanding negeri lain, dan akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai perancangan termasuk penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

"Selain itu, turut dirancang adalah pembangunan pakej pelancongan lebih menyeluruh dan mesra pelancong serta peningkatan kualiti perkhidmatan dan hospitaliti dalam kalangan penggiat industri tempatan.

"Pelbagai inisiatif dilaksanakan sempena TMM 2026 di peringkat negeri, termasuk promosi melalui pameran, misi jualan, penggunaan platform digital, kerjasama ejen pelancongan serta memperkenalkan produk dan destinasi pelancongan negeri ini secara meluas," katanya ketika sesi jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Nicole menjawab soalan Yap Yew Weng (PH-Mambau) mengenai usaha kerajaan negeri dalam memajukan industri pelancongan hasil lawatan rasmi MOTAC di negeri ini.

Beliau berkata Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia menggunakan pempengaruh untuk menonjolkan budaya, warisan dan produk pelancongan negeri ini melalui kempen digital, penghasilan kandungan kreatif serta hebahan di media sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan