Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPJ Healthcare University Rai 1,080 Graduan

11/12/2025 09:06 AM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) --  Sebanyak 1,080 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-27 KPJ Healthcare University Group, dengan empat daripadanya menerima penganugerahan tertinggi hari ini.

Bagi penerima Anugerah Khas Canselor Nur Dini Dalilah M Rosli, 23, pengiktirafan itu amat bermakna dan menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan taraf hidup keluarga. 

Anak jati Kedah itu mengakui, ibu bapa merupakan pendorong utama kejayaannya sepanjang tiga tahun pengajian di KPJ Healthcare University, Nilai, Negeri Sembilan.

“Dalam pelajaran, disiplin amat penting dan kita perlu sentiasa melakukan yang terbaik sekiranya ingin kekal cemerlang pada setiap semester,” katanya kepada Bernama.

Bagi M Abarnah, 23, kekangan kewangan keluarga tidak mematahkan semangatnya untuk memperoleh keputusan cemerlang sekali gus muncul penerima Anugerah Khas Tun Dr Hasmah.

“Pengorbanan ibu yang menyediakan bekal makanan sepanjang tempoh pengajian menjadi pendorong untuk saya kekal dalam senarai dekan setiap semester.

“Walaupun terpaksa berjaga hingga lewat malam demi mengulang kaji pelajaran, segala penat lelah itu berbalas apabila saya terpilih menerima anugerah khas ini,” katanya.

Penerima Anugerah Khas Naib Canselor R Rubini, 37, pula berkata meskipun bekerja sepenuh masa sebagai ahli fisioterapi namun, dia berjaya membuktikan bahawa disiplin diri amat penting untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Belajar sambil bekerja bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan semangat yang kental dan inisiatif untuk sentiasa berhubung dengan penyelia sekiranya terdapat sebarang kekeliruan dalam penyelidikan  dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Canselor KPJU Tan Sri Dr Ismail Abu Bakar berkata sehingga kini, KPJ Healthcare University dan KPJ Healthcare College telah berjaya melahirkan 15,390 alumni sejak penubuhannya.

“KPJU bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, sebaliknya sebuah medan intelektual melahirkan profesional kesihatan berwawasan global, pemimpin, inovator drastik serta cendekiawan yang memacu perubahan.

“Sehubungan dengan itu, graduan dalam bidang kesihatan tidak lagi boleh bergantung kepada ilmu akademik semata-mata, sebaliknya harus tampil sebagai pemikir kritis, komunikator berempati dan sentiasa mendahulukan ilmu melebihi apa diajar di bilik kuliah,” katanya.

Seiring dengan tuntutan semasa, universiti berkenaan turut menganugerahkan gelaran Profesional Kehormat kepada Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KPJU Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

KPJU turut melantik dua Profesor Adjung iaitu Datuk Rizal Syah Abdul Wahid dan Khairuddin Jaglus masing-masing bagi program Sarjana dan Sarjana Muda di bawah Sekolah Pengurusan Penjagaan Kesihatan.

Ismail berkata pelantikan itu bukan sahaja memperkukuh kualiti akademik, malah memperkaya pengalaman pembelajaran melalui bimbingan langsung tokoh industri yang berpengalaman. 

Naib Canselor KPJ Healthcare University Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin berkata universiti tersebut berbangga apabila lebih 90 peratus graduannya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian setiap tahun.

“Ramai daripadanya diserap ke hospital di seluruh negara sekali gus membuktikan pendidikan yang diterima di sini bukan sekadar teori, tetapi selaras dengan keperluan sebenar industri kesihatan berasaskan amalan, teknologi dan empati,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan